Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Dua produk mi segera selamat dimakan

    KUALA LUMPUR, 9 MEI – Dua mi segera iaitu Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Mi Segera Perisa Ayam Spesial jenama Indomie yang sebelum ini diarah ditarik balik susulan isu pencemaran ethylene oxide dalam produk itu, disahkan selamat untuk dimakan dan mematuhi perundangan yang ditetapkan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan memaklumkan perkara itu disahkan berdasarkan analisis makmal yang dijalankan terhadap sampel dua jenis mi segera itu.

    “Bagi makanan yang diimport, KKM (Kementerian Kesihatan) melaksanakan enam tahap pemeriksaan di pintu masuk negara berdasarkan risiko.

    “Untuk pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas (TUL), produk makanan yang masuk ke negara ini akan ditahan dan dianalisis terlebih dahulu dan hanya produk makanan yang mematuhi standard sahaja yang dilepaskan untuk di pasaran Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, bagi tempoh 2022 hingga April lepas, sejumlah 317 pensampelan bagi tujuan TUL dijalankan dan daripada jumlah tersebut, 37 (11.67 peratus) merupakan pensampelan TUL ke atas produk mi segera pelbagai jenama bagi parameter ethylene oxide.

    Dr Muhammad Radzi berkata, bagi mana-mana produk yang didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan, KKM akan bekerjasama dengan syarikat terbabit untuk memastikan semua produk terlibat ditarik balik daripada pasaran.

    Sebelum ini, KKM telah mengarahkan pihak syarikat terlibat untuk menarik balik secara sukarela terhadap produk Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi batch yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran Malaysia susulan isu pencemaran ethylene oxide dalam produk itu dan Indomie Perisa Ayam Spesial.

    KKM juga telah mengeluarkan arahan untuk tindakan TUL bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran Indonesia di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...