Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Produk Thermopure jenama Myvitamins dan Impact Bar jenama Myprotein daripada Syarikat THG plc, United Kingdom yang dijual di pasar raya dan kedai di negara ini telah diarahkan untuk diasingkan penjualannya serta-merta.
Arahan berkenaan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kepada syarikat pengimport setelah mendapati Thermopure mengandungi beef gelatine manakala itu, Impact Bar mengandungi hydrolysed beef gelatine dan kedua-duanya tidak mempunyai pensijilan halal dari mana-mana badan pensijilan halal yang diiktiraf.
Menurut JHES, dalam kenyataan di sini, pihak pengimport telah pun memaklumkan kepada pemilik pasar raya dan kedai di mana produk-produk itu diedarkan untuk mengasingkannya ke ruang tidak halal.
Sehubungan itu, KHEU mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk halal tidak bercampur dengan yang tidak halal atau yang diragui kehalalannya.
Ini demi menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk khususnya masyarakat Islam di negara ini dari terjebak mengambil dan memakan produk yang tidak halal atau diragui kehalalannya.
Di samping itu, pihak kementerian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berhubung perkara berkenaan dan bagi mereka yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal atau yang diragui kehalalannya secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dilaporkan terus ke JHES melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.


