Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua satelit Eropah hasilkan gerhana matahari buatan pertama

    CAPE CANAVERAL, 18 JUN – Sepasang satelit Eropah telah mencipta gerhana matahari buatan pertama di dunia dengan terbang dalam formasi yang sangat tepat dan kompleks, sekali gus membolehkan para saintis menikmati berjam-jam tempoh gerhana penuh mengikut permintaan.

    Agensi Angkasa Eropah (ESA) mendedahkan gambar-gambar gerhana itu pada Pameran Udara Paris pada Isnin. Dilancarkan lewat tahun lalu, pasangan satelit tersebut telah menghasilkan gerhana matahari simulasi sejak Mac lalu ketika berlegar puluhan ribu kilometer di angkasa, jauh dari permukaan Bumi.

    Kedua-dua satelit itu terbang pada jarak 150 meter antara satu sama lain, dengan satu satelit bertindak menghalang cahaya matahari seperti mana bulan dalam gerhana semula jadi, manakala satu lagi mengarahkan teleskopnya ke arah korona – lapisan luar atmosfera matahari yang membentuk ‘mahkota’ cahaya.

    Ia merupakan pergerakan rumit dan berpanjangan yang memerlukan ketepatan luar biasa oleh kapal angkasa berbentuk kiub bersaiz kurang daripada 1.5 meter. Ketepatan penerbangannya perlu dalam julat satu milimeter sahaja – setebal sebatang kuku. Penjajaran rapi itu dicapai secara automatik melalui navigasi GPS, pengesan bintang, laser dan pautan radio.

    Dikenali sebagai Proba-3, misi bernilai AS$210 juta itu telah menghasilkan 10 gerhana matahari berjaya setakat ini dalam fasa ujian. Gerhana terpanjang setakat ini berlangsung selama lima jam, menurut saintis utama teleskop pemerhati korona dari Balai Cerap Diraja Belgium, Andrei Zhukov.

    Dia dan pasukannya menyasarkan tempoh gerhana penuh selama enam jam apabila pemerhatian saintifik sebenar bermula Julai ini.

    Zhukov berkata para saintis sudah pun teruja dengan hasil awal yang menunjukkan korona matahari tanpa memerlukan sebarang pemprosesan imej khas.

    “Kami hampir tidak percaya dengan apa yang kami lihat,” kata Zhukov dalam emel. “Ini cubaan pertama, dan ia berjaya. Ia benar-benar menakjubkan.”

    Zhukov menjangkakan purata dua gerhana matahari buatan seminggu akan dihasilkan, dengan jumlah hampir 200 dalam tempoh dua tahun misi itu – memberikan lebih 1,000 jam gerhana penuh.

    Ia merupakan peluang luar biasa buat sains, memandangkan gerhana matahari semula jadi hanya menghasilkan beberapa minit gerhana penuh dan berlaku purata setiap 18 bulan sekali.

    Matahari masih menjadi misteri kepada para saintis, khususnya korona yang jauh lebih panas daripada permukaan matahari.

    Letupan besar dari korona atau coronal mass ejections boleh melontarkan berbilion tan plasma dan medan magnet ke angkasa. Ia boleh mencetuskan ribut geomagnet yang mengganggu bekalan tenaga dan komunikasi serta menghasilkan fenomena aurora di lokasi-lokasi luar jangkaan.

    Sebelum ini, beberapa satelit telah menghasilkan gerhana matahari tiruan – termasuk Satelit Solar Orbiter dan Balai Cerap Soho oleh ESA dan NASA – namun cakera penghalang matahari dan teleskop pemerhati korona berada pada kapal angkasa yang sama.

    Apa yang menjadikan misi tersebut unik, kata Zhukov, ialah cakera penutup matahari dan teleskop terletak pada dua satelit berasingan yang terbang berjauhan.

    Jarak antara kedua-dua satelit itu membolehkan saintis melihat dengan lebih jelas bahagian korona yang paling hampir dengan permukaan matahari.

    “Kami amat berpuas hati dengan kualiti imej-imej ini dan sekali lagi, ini adalah hasil daripada penerbangan formasi dengan ketepatan yang belum pernah dicapai,” kata pengurus misi ESA, Damien Galano, dari Pameran Udara Paris. – AP

    Imej yang disediakan oleh ESA ini menunjukkan korona Matahari yang dirakam oleh pasangan kapal angkasa Proba-3 pada 23 Mei dalam spektrum cahaya tampak, dengan struktur halus seakan rambut dipaparkan menggunakan algoritma pemprosesan imej khas. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda