Sunday, February 16, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua sekolah rendah di Temburong teruja terima keberangkatan Baginda Sultan

    Oleh Nurdiyanah R.

    TEMBURONG, 10 MAC – Dua buah sekolah rendah di daerah yang terkenal dengan julukan Permata Hijau Brunei telah menjadi tumpuan lawatan tidak berjadual Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sejurus selepas keberangkatan Baginda ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-12, kelmarin.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat ke sekolah-sekolah rendah di Daerah Temburong. – Gambar-gambar oleh Rafi Rosli

    Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.

    Baginda memulakan lawatan tidak berjadual berkenaan ke Sekolah Rendah Sultan Hassan yang terletak di Pekan Bangar di mana keberangkatan Baginda dijunjung oleh Guru Besar, Dayang Vivi Hairani binti Haji Judin.

    Dari Sekolah Rendah Sultan Hassan, Baginda Sultan berkenan meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Selapon di mana keberangkatan Baginda dijunjung oleh Pemangku Guru Besar Sekolah, Yahuda bin Gelawat.

    Semasa lawatan-lawatan tersebut, Baginda berkenan menyaksikan lebih dekat sesi pembelajaran murid-murid dan kemudahan serta prasarana yang tersedia. Sebelum mengakhiri keberangkatan, baginda dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama tenaga pengajar sekolah.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerusi lawatan tidak berjadual begitu jelas mencurahkan lagi keperibadian Baginda penuh dengan jiwa keprihatinan dalam ‘mengalinga’ kesejahteraan sekali gus perkembangan pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda