Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua sekolah tempatan terpilih sertai program perkongsian

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN 20 OGOS – Sekolah Menengah (SM) Sultan Hassan, Temburong, dan SM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, telah terpilih menyertai Program Perkongsian Sekolah BRIDGE Australia-ASEAN 2025-2026.

    Pemilihan tersebut diumumkan oleh Pusat ASEAN-Australia dan Asialink Education, yang mana mereka turut mengongsikan bahawa secara keseluruhannya 38 buah sekolah rendah dan menengah yang cemerlang dari seluruh Australia dan Asia Tenggara turut dipilih untuk menyertai program tersebut.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Asialink Education, hari ini, menjelaskan, sekolah-sekolah tersebut telah dipilih melalui proses pemilihan yang kompetitif dan kini menyertai rangkaian berprestij yang terdiri daripada lebih 1,200 buah sekolah yang telah mengambil bahagian dalam program BRIDGE di seluruh rantau Asia-Pasifik sejak tahun 2008.

    Program Perkongsian Sekolah BRIDGE ASEAN-Australia yang baharu ditubuhkan itu direka berasaskan momentum sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia yang diraikan pada tahun 2024.

    Program itu telah menyediakan peluang pembelajaran berstruktur dan membina hubungan rentas budaya antara pendidik dan pelajar dari Australia dan Asia Tenggara.

    Ia akan mewujudkan 19 perkongsian sekolah baharu dengan menghubungkan 38 orang pendidik dan lebih daripada 300 orang pelajar.

    Program itu telah bermula pada 5 Mac lalu yang merangkumi sesi pembelajaran profesional bulanan, lawatan salingan oleh guru-guru dari Asia Tenggara ke Australia pada pertengahan tahun ini, dan guru dari Australia ke Asia Tenggara pula akan dilaksanakan pada awal 2026, serta forum pelajar.

    Sementara, Ketua Pusat ASEAN-Australia, Fiona Hoggart berkata, “Program ini memainkan peranan penting dalam menyokong pusat ini untuk mencapai misinya dalam mengukuhkan hubungan pendidikan antara Australia dan Asia Tenggara, sekali gus dapat meningkatkan pemahaman rakyat Australia terhadap rantau ini.

    “Kami amat menantikan projek-projek inovatif dan persahabatan yang berkekalan yang akan terjalin antara pelajar dan guru yang terlibat dalam program yang hebat ini, “ jelasnya.

    Program Perkongsian Sekolah BRIDGE ASEAN-Australia 2025-26 disertai oleh 19 buah sekolah di Australia dan 19 buah sekolah-sekolah ASEAN.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda