Dua sembuh, 45 masih dirawat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal seramai 339 orang apabila tiada kes baharu dicatatkan setakat 12 tengah hari ini, manakala itu, dua kes telah sembuh menjadikan kes yang aktif kepada 45 kes.

Kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik, menurut sidang akhbar harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, hari ini.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (456 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 198 kes.

Kenyataan turut mengongsikan, seramai 640 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 23,131 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020. Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 223 sampel juga telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 154,797 ujian.

Manakala itu, seramai 4,383 orang telah menerima vaksin pada 4 Ogos dengan 177,628 orang telah menerimanya sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

Dengan yang demikian, sejumlah 31.3 peratus penduduk Negara Brunei Darussalam telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala itu, sejumlah 7.9 peratus lagi telah menerima dua dos vaksin. Bagi jumlah warga emas yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula ialah seramai 24,893 orang.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.