BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Dua anggota sukarelawan dari Jawatankuasa Anti-Doping Negara Brunei Darussalam (BDADC) bertolak ke Kuala Lumpur pagi kelmarin bagi Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29 Kuala Lumpur 2017. Mereka terpilih sebagai Pegawai Kawalan Doping Antarabangsa (IDCO) dan Pegawai Anti-Doping Outreach. Mengucapkan selamat jalan di dewan berlepas Lapangan Antarabangsa Brunei ialah ketua pendidikan dan outreach BDADC Sukardi bin Kaderi, dan para pegawai BDADC lain.
Guru terlatih, Hetty Hartini binti Talip, dari Sekolah Rendah Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10, Kementerian Pendidikan telah dilantik menjadi IDCO. Beliau merupakan DCO terlatih Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan sangat aktif dalam ujian bagi kejohanan negara dan acara sukan yang dianjurkan di tanah air.
Sementara itu pegawai pendidikan, Nurhayatunnajibah binti Haji Kefli, dari Politeknik Brunei (PB) merupakan sukarelawan aktif di Anti-Doping Education and Outreach, dan sangat aktif terlibat dalam aktiviti-aktiviti pendidikan dan outreach bagi mempromsikan kesedaran kepad para atlet,begitu juga para pelajar.
Anggota BDADC telah mewakili Brunei Darussalam dalam beberapa acara sukan serantau dan antarabangsa sebagai IDCO dan Pegawai Outreach.
Selari dengan Kod Anti-Doping Dunia, BDADC memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap bahaya dadah dan akibatnya melalui beberapa siri perbincanganoutreach dan juga menyampaikan mesej-mesej itu dengan menggunakan beberapa platform media seperti Bicara Sukan (RTB), Facebook dan Instagram. Malahan BDADC juga melakukan siri ujian OOCT dan 105 atlet negara yang menyertai Sukan SEA ke-29 juga telah diuji dan kesemua sampel didapati negatif.
BDADC sekali lagi mengingatkan kesemua atlet dan peminat sukan agar menyedari penggunaan makanan tambahan kerana ia mungkin dicemari dengan barangan terlarang, yang boleh melanggar peratuan Anti-Doping dan masalah kesihatan.