PARIS, 26 OKT — Pihak berkuasa Perancis menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam rompakan barang kemas diraja berharga di Muzium Louvre, satu kejadian yang menggemparkan dunia, menurut pegawai hari ini.
Sebanyak 100 penyiasat telah digerakkan bagi menjejaki perompak yang melakukan rompakan itu pada 19 Oktober lalu, di mana mereka melarikan barang kemas dianggarkan bernilai AS$102 juta hanya dalam beberapa minit.
Pendakwa Paris, Laure Beccuau, memaklumkan pihaknya telah melakukan tangkapan malam kelmarin selepas dua sumber terdekat kes berkenaan mengesahkan laporan media tempatan mengenai penahanan tersebut kepada AFP.
“Salah seorang lelaki yang ditahan sedang bersiap untuk meninggalkan negara ini dari Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle,” kata Beccuau, mengesahkan laporan oleh Le Parisien dan Paris Match.
Sumber berkenaan memberitahu AFP suspek itu hampir menaiki pesawat menuju ke Algeria, manakala seorang lagi ditahan tidak lama selepas itu di wilayah Paris.
Kedua-dua mereka kini ditahan bagi siasatan atas dakwaan rompakan terancang dan konspirasi jenayah. – AFP


