Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua suspek ditangkap terlibat rompakan di Louvre

    PARIS, 26 OKT – Pihak berkuasa Perancis telah menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kumpulan empat orang yang mencuri barang kemas berharga dari muzium terkenal dunia, Louvre, minggu lalu, menurut dua sumber yang rapat dengan siasatan hari ini, mengesahkan laporan media.

    Salah seorang suspek ditahan sekitar pukul 10 malam kelmarin di lapangan terbang Paris-Charles de Gaulle ketika dia bersiap untuk menaiki pesawat ke luar negara, lapor media Perancis Le Parisien dan Paris Match.

    Suspek kedua ditahan tidak lama selepas itu di kawasan sekitar Paris, menurut Le Parisien.

    Puluhan penyiasat telah ditugaskan untuk menjejaki para perompak yang berjaya merompak Louvre pada waktu siang pada 19 Oktober lalu, melarikan diri dengan permata diraja bernilai dianggarkan AS$102 juta hanya dalam masa tujuh minit.

    Para perompak memanjat tangga boleh laras yang dipasang pada sebuah lori pemindahan yang dicuri dan menggunakan peralatan pemotong untuk menceroboh masuk ke sebuah galeri di tingkat satu.

    Mereka menjatuhkan mahkota bertatahkan berlian dan zamrud ketika melarikan diri menuruni tangga dan menaiki skuter, namun berjaya mencuri lapan lagi barangan, termasuk seutas rantai leher zamrud dan berlian yang pernah dihadiahkan oleh Napoleon Bonaparte kepada isterinya, Permaisuri Marie-Louise.

    Kes kecurian itu telah menjadi tajuk utama di seluruh dunia dan mencetuskan perdebatan di Perancis mengenai tahap keselamatan institusi budaya negara itu. – AFP

    Rantai leher dan subang daripada set barang kemas Permaisuri Marie-Louise yang dicuri dari Galeri Apollon, Muzium Louvre, Paris, pada 19 Oktober lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda