Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kelmarin, telah mengendalikan pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan alat timbangan jenis brake tester.
Hasil pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas dua unit alat timbangan jenis brake tester yang digunakan dalam perkhidmatan VIS bagi Syarikat GHK Motors Sdn Bhd dan Syarikat Jati Transport Sdn Bhd telah mendapati ia sah, tepat dan berdaftar selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994; di bawah Seksyen 3(1).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengingatkan para peniaga dan pengguna alat sukat dan timbang untuk sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994; di bawah Seksyen 3(2).
Mereka yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat bagi menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan berkenaan adalah bersalah.
Jika didapati bersalah, hukuman denda $1,000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali akan dikenakan manakala itu, timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang yang tersebut boleh dirampas dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan dagang yang dibuat dengan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang sedemikian adalah tidak sah.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn.


