BANGKOK, 17 Jan – Bangladesh dan Myanmar telah mencapai persetujuan bahawa mereka akan cuba menamatkan penghantaran balik beratus-ratus ribu pelarian Islam Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar dalam tempoh dua tahun, menurut Kementerian Luar Negeri Bangladesh semalam.
Kementerian berkata satu kumpulan kerja bersama dari kedua-dua negara telah memuktamadkan satu perjanjian pada Isnin mengenai pengaturan fizikal untuk penghantaran balik penduduk etnik Rohingya. Ia berkata mereka bersetuju bahawa proses tersebut “akan selesai dalam tempoh dua tahun bermulanya tempoh penghantaran balik.”
Myanmar dan Bangladesh telah menandatangani satu perjanjian awal pada November untuk menghantar pulang Rohingya dan kumpulan kerja yang terdiri daripada 30 ahli ditubuhkan pada bulan lalu untuk menyelia proses berkenaan.
Ramai telah menyoal sama ada Rohingya akan pulang ke Myanmar di bawah keadaan sekarang, atau sama ada Myanmar akan menerima mereka dan membenarkan mereka hidup dengan bebas.
Di bawah perjanjian November, Rohingya perlu memberikan bukti tentang penempatan mereka di Myanmar untuk membolehkan mereka pulang – sesuatu yang dikatakan ramai sebagai tidak ada.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata agensi pelarian PBB UNHCR telah dirundingkan namun adalah amat penting agensi itu terlibat sepenuhnya untuk menjamin penghantaran pulang mematuhi piawaian antarabangsa.
Adalah penting kepulangan Rohingya bersifat sukarela, berlaku ‘dalam keadaan selamat dan bermaruah’ dan membenarkan mereka kembali ke rumah mereka yang memerlukan pelaburan besar untuk pembinaan semula disebabkan kemusnahan.
Ia juga memerlukan “usaha perdamaian yang sangat diperlukan untuk membolehkan ia berlaku dengan betul,” menurut Guterres. – AP