Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dua tahun tak raya bukan tiket berbelanja sakan

    KUALA LUMPUR – Memasuki pertengahan Ramadan, suasana meriah untuk meraikan kedatangan Hari Raya sudah mula terasa, malah sambutan lebaran tahun ini dijangka lebih meriah berbanding sebelum munculnya pandemik COVID.

    Pelaksanaan Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu dengan banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan (masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis) membolehkan orang ramai lebih bebas melakukan aktiviti beli-belah.

    Antara lokasi wajib dikunjungi bagi kebanyakan warga kota metropolitan ini sudah tentunya Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Jalan TAR. Malah lokasi ini juga menjadi pilihan orang dari luar Kuala Lumpur untuk membeli pelbagai keperluan Aidilfitri dan suasana meriah ini sudah dapat dilihat sejak awal Ramadan lagi.

    Tidak kurang juga lokasi tumpuan lain iaitu di Selangor untuk persiapan Hari Raya antaranya Bandar Baru Bangi dan Shah Alam sehingga jalan menuju ke Bangi Sentral dan Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam sesak pada hujung minggu.

    “Dah dua tahun tak raya, kali ini mestilah nak raya penuh meriah.  Saya dah beli tiga pasang baju raya untuk diri sendiri,”  kata  Nursyafiqa Zakaria, 26, yang ditemui di sebuah butik di Bandar Baru Bangi.

    Selain kelengkapan pakaian, pengunjung turut dilihat memenuhi sebuah gerai menjual pelbagai kuih raya. – Bernama
    Kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri semakin dirasai dengan orang ramai kelihatan berpusu-pusu mengunjungi Bazar Aidilfitri. – Bernama

    Itu belum lagi kisah pembelian secara dalam talian sehingga ada yang kecewa apabila banyak barangan dan saiz pakaian yang dikehendaki sudah kehabisan stok.

     Harga barang meningkat 

    Namun, di sebalik keseronokan umat Islam membuat persiapan Aidilfitri, kenaikan kos sara hidup terutama peningkatan harga barang mungkin mengekang sikap sesetengah orang yang gemar ‘berbelanja sakan’ sehingga sanggup berhutang.

    Tinjauan Bernama di sekitar pusat beli-belah Lembah Klang mendapati rata-rata berpendapat peningkatan harga barang tidak menjejaskan ‘mood’ persiapan raya malah akan menyambutnya lebih meriah daripada sebelumnya kerana antaranya, sudah boleh mengadakan majlis rumah terbuka. 

    Bagi eksekutif jualan Rosmizi Rahimi, 34, kenaikan harga barang di pasaran terutama pakaian raya dan barang keperluan adalah ‘hikmah’ baginya untuk mengawal nafsu berbelanja, lebih-lebih lagi beliau turut tergolong dalam kategori B40.

    “Sebelum ini sambutan tidak begitu dirasai berikutan pandemik COVID, namun menjelang hari raya tahun ini, kebetulan harga bahan mentah seperti ayam naik mendadak, begitu juga barang dapur serta keperluan lain. Baju pun menjadi mahal. 

    “Kami sekeluarga pernah mengalami situasi tidak cukup perbelanjaan ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).  Untuk itu, kami memanfaatkan pengeluaran KWSP dan BKM dengan membuat senarai barang yang perlu, seterusnya membandingkan harga antara pasar raya untuk meminimumkan perbelanjaan,” katanya kepada Bernama.  

     Jualan laris

    Pengasas pakaian Melayu Bayu Somerset,  Diana Kamalul pula berkata, jualan busana tradisional Melayu di butiknya lebih laris pada tahun ini  dengan kehadiran ramai pelanggan berbanding membeli secara dalam talian.

    “Kami sebenarnya memulakan perniagaan busana secara dalam talian pada tahun 2021 dan ketika itu sambutannya memberangsangkan kerana ramai yang terpaksa membeli baju raya menerusi platform dalam talian. Sekarang sebab ada kelonggan SOP, ramai lebih suka datang ke butik. 

    “Pelanggan saya lebih suka menilai sendiri fabrik yang digunakan dengan mencuba terlebih dahulu sebelum membeli, dan saya lihat trend membeli-belah di butik lagi rancak daripada platform dalam talian, malah sambutan tahun ini sangat luar biasa,” katanya ketika ditemui di The Fashion Journal, Setia City Mall, Shah Alam, Selangor.

    Menurut beliau, walaupun terdapat sedikit peningkatan pada harga busana berbanding tahun lepas namun ia masih mendapat sambutan kerana dijual dengan harga mampu milik dan berpatutan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...