Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua tan meth kristal berjaya dirampas di Riau

    BATAM, 26 MEI – Pihak berkuasa Indonesia merampas dua tan methamphetamine kristal yang disorok dalam sebuah bot nelayan dan menahan enam individu dalam tangkapan dadah terbesar dalam sejarah negara itu, menurut seorang pegawai narkotik kanan hari ini.

    Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia memaklumkan pihak berkuasa Thailand telah memberitahu mereka bahawa sebuah kapal yang berdaftar di Indonesia dan belayar dari Laut Andaman ke Pulau Batam mungkin membawa muatan dadah yang besar.

    Pihak berkuasa Indonesia telah menghentikan bot tersebut di perairan sekitar Kepulauan Riau pada Selasa lalu dan menemui 2,000 bungkusan meth kristal yang disembunyikan dalam kotak kadbod di dalam kapal.

    “Hasil rampasan adalah dua tan methamphetamine kristal,” kata ketua BNN, Marthinus Hukom dalam sidang media. “Ini adalah rampasan terbesar dalam sejarah pemberantasan dadah Indonesia.”

    Marthinus menganggarkan nilai dadah tersebut hampir mencapai AS$308 juta.

    Pihak berkuasa Indonesia telah menyiasat kes itu selama lima bulan lalu dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Thailand.

    Dadah haram tersebut dihasilkan di kawasan Segitiga Emas yang menjadi persimpangan Thailand, Laos dan Myanmar dan diseludup oleh kumpulan jenayah terancang yang bekerjasama dengan pengedar Indonesia, menurut Marthinus.

    Enam individu yang berada di atas bot nelayan itu ditahan, termasuk empat warga Indonesia dan dua warga Thailand. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda