SEVILLE, 12 SEPT – Dua tarikan warisan dunia di wilayah pelancongan popular Andalusia, Sepanyol, antara lokasi yang terjejas akibat wabak selesema burung yang telah menyebabkan taman ditutup dan haiwan dimusnahkan, kelmarin.
Taman Maria Luisa di Seville, salah satu tarikan utama pelancong dan kawasan rekreasi di pusat bandar, antara yang ditutup selepas burung mati ditemui di kawasan tersebut, kata dewan bandaraya di platform X, kelmarin.
Taman itu akan dibersihkan daripada bangkai burung dan dinyahkuman, tambah dewan bandaraya bandar selatan itu, yang dalam beberapa hari kebelakangan ini telah menutup tiga taman lain selepas penemuan burung mati.
Antara kawasan lain yang terjejas ialah taman di Real Alcazar, istana diraja zaman pertengahan yang dibentuk oleh pengaruh seni bina Islam dan Kristian serta diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO.
Di Taman Negara Donana, satu lagi tapak UNESCO yang terkenal dengan tanah lembap, lagun dan kepelbagaian biodiversiti, di mana ‘tiga wabak melibatkan burung liar’ telah dikesan, menyebabkan burung tersebut dibunuh, menurut pegawai kanan alam sekitar kerajaan wilayah, Catalina Garcia, di X.
Kerajaan wilayah dalam satu kenyataan pada Selasa berkata pihaknya sedang melaksanakan langkah “untuk mengelakkan penularan selesema burung dan menghentikan jangkitan di kawasan lain”, selepas wabak dikesan di dua ladang di wilayah Huelva.
Kenyataan itu menyebut burung telah dimusnahkan, tanpa menyatakan jumlahnya, sambil menambah bahawa risiko jangkitan kepada manusia adalah ‘sangat rendah. – AFP


