MANILA, 11 NOV – Angka korban akibat dua taufan yang melanda Filipina sejak minggu lalu meningkat kepada 250 orang, manakala jutaan lagi penduduk terjejas dan hilang tempat tinggal hari ini.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) memaklumkan, Taufan Kalmaegi yang melanda daratan pada 4 November telah mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di wilayah tengah negara itu, mengorbankan 232 nyawa serta menyebabkan 112 orang hilang.
Sebahagian besar kematian dilaporkan di wilayah Cebu, yang masih berusaha pulih daripada kesan gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter pada 30 September lalu, menurut NDRRMC.
Sementara itu, Pejabat Pertahanan Awam Filipina hari ini turut mendedahkan, Taufan Fung-wong yang melanda Pulau Luzon pada Ahad telah meragut kira-kira 18 nyawa.
Kedua-dua taufan itu turut menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal serta memusnahkan kediaman, kawasan pertanian dan infrastruktur penting termasuk jalan raya dan jambatan, kata pegawai.
Fung-wong merupakan taufan ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, melebihi purata tahunan negara itu iaitu 20 taufan. – Bernama


