Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Tenaga
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Shell Exploration Production Brunei Sdn Bhd (SEPB), masing-masing sedang dalam persiapan akhir untuk menggerudi Merbah Deep-1 dan Jagus Subthrust-1 di mana kedua-dua lokasi adalah di kawasan laut dalam Brunei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, majlis Doa Kesyukuran bagi penggerudian dua telaga eksplorasi berkenaan telah diadakan pada 25 Mac lalu di atas kapal penggerudi Maersk Viking di lokasi Merbah Deep.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya yang juga pengarah urusan Pihak Berkuasa Interim Petroleum Brunei Darussalam, Pengarah Urusan BSP, Agnete Johnsgaard-Lewis dan Pengurus Besar SEPB, Ivo Verstralen.
Majlis Doa Kesyukuran berkenaan dihasratkan membolehkan penggerudian telaga eksplorasi berkenaan dengan selamat dan lancar serta hasil yang berjaya.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa Maersk telah berjaya mendapatkan kontrak bagi memenuhi komitmen penggerudian bagi BSP dan SEPB menerusi kapal penggerudian generasi ke-7 dan canggih mereka, Maersk Viking.
Pelantar berkenaan tiba di perairan Brunei pada 13 Mac di mana ia memulakan penggerudian telaga Merbah Deep-1 pada 26 Mac dan kemudian bagi telaga Jagus Subthrust-1 pada awal Mei.
Ia dilengkapi dengan teknologi dual-derrick yang berupaya mencapai kedalaman penggerudian 12,000m dan beroperasi pada kedalaman air maksimum, 3,657m.
Kenyataan menyatakan bahawa aktiviti eksplorasi penggerudian memainkan peranan penting dalam menyokong objektif strategik kedua Kementerian Tenaga bagi pengurusan efektif dan mampan sumber hidrokarbon negara.
Kedua-dua telaga eksplorasi berkenaan akan menjadi ujian utama dalam menyediakan isi padu hidrokarbon baharu dan membuka lagi lautan dalam selaras dengan penekanan kuat Kementerian Tenaga bagi operator untuk membangunkan padang-padang laut dalam sedia ada dalam penggal dekat ke pertengahan.