MANILA, 1 FEB – Tentera Filipina terlibat dalam pertempuran dengan pengganas di selatan Filipina, mengakibatkan dua terbunuh, termasuk seorang anggota tentera, dan dua lagi tercedera, menurut kenyataan pihak tentera hari ini.
Pihak tentera berkata pertempuran berlaku pada pagi kelmarin di Patikul, sebuah bandar pedalaman di wilayah Sulu, ketika tentera kerajaan menjejak pengganas kumpulan Abu Sayyaf.
Seorang pengganas juga dilaporkan terbunuh, menurut tentera, dan menambah dua anggota tentera yang tercedera berada dalam keadaan stabil.
Mejar Jeneral William Gonzalez, komander pasukan petugas bersama tentera di Sulu, berkata pihak tentera di wilayah itu ‘berada dalam keadaan siap sedia ketika tentera menjalankan operasi mengejar’ di kawasan tersebut.
Minggu lalu, seorang anggota tentera juga terbunuh, dan dua lagi tercedera selepas pengganas didakwa menembak trak tentera yang dalam perjalanan di bandar Patikul.
Pihak tentera melancarkan serangan berkala ke atas Kumpulan Abu Sayyaf, penjenayah yang melakukan serangan bom dan penculikan di kawasan terpencil dan miskin di selatan Filipina di Sulu dan Basila sejak awal 1990an.
Kumpulan itu menyasarkan pelancong luar, peniagaan kecil, peladang dan nelayan dari Filipina dan negara jiran Indonesia dan Malaysia. – Xinhua