Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua terima anugerah tertinggi Jepun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Dua warga Brunei telah menerima anugerah sempena 50 tahun hubungan ASEAN-Jepun atas sumbangan cemerlang mereka kepada pengkukuhan hubungan dua hala dan mempromosikan persahabatan antara Jepun dan Brunei Darussalam.

    Dua penerima anugerah bagi Penganugerahan Musim Bunga 2023 itu ialah mantan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Brunei Darussalam ke Jepun, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Negara Pengiran Anak Haji Puteh ibni Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang dikurniakan Order of the Rising Sun, Bintang Emas dan Perak dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof yang telah menerima anugerah Grand Cordon Order of the Rising Sun.

    Perkara itu diumumkan oleh kerajaan Jepun melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam hari ini.

    YAM Pengiran Indera Negara Pengiran Anak Haji Puteh telah mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika itu semasa lawatan negara pertama ke Jepun selepas kemerdekaan pada tahun 1984.

    Yang Amat Mulia kemudian dilantik sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun pada tahun 1986 dan berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dari 1987 hingga 1997 yang mana Yang Amat Mulia komited dalam usahanya untuk memperdalam hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan Jepun.

    Di samping itu, Yang Amat Mulia juga merupakan salah seorang daripada ramai rakyat Brunei yang menyumbang kepada promosi karate di Brunei, dan telah menjadi Presiden Kehormat Persekutuan Karate Brunei sejak 2009.

    Manakala Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan pula telah memainkan peranan penting dalam peningkatan hubungan dua hala Jepun-Brunei sejak menyertai Program Pemimpin Muda JICA di Jepun pada 1992.

    Pada tahun 2006, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Perdagangan Antarabangsa di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Negara Brunei Darussalam, di mana beliau telah menyumbang untuk meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Dua Hala Jepun-Brunei.

    Selepas pelantikannya sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Brunei Darussalam pada 2008, beliau mengetuai rundingan kontrak jangka panjang untuk membekalkan gas asli cecair (LNG) ke Jepun.

    Manakala pada Januari 2018, beliau menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua dan mengadakan banyak pertemuan penting dengan rakan sejawatannya untuk pertukaran antara kedua-dua negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda