BEIRUT, 22 APRIL – Seorang pemimpin dari Jamaa Islamiya yang bersekutu dengan Hamas telah terbunuh dalam serangan udara Israel hari ini, kata kumpulan Islam Lubnan dan tentera Israel. Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan satu lagi kematian dalam serangan berasingan.
Israel terus melancarkan serangan tetap ke atas Lubnan walaupun selepas gencatan senjata dengan kumpulan pejuang Hizbollah pada November bertujuan menghentikan pertempuran lebih setahun antara kedua-dua pihak, termasuk dua bulan peperangan penuh.
Pertahanan awam Lubnan menyatakan ‘sebuah dron Israel menyasarkan sebuah kereta’ berhampiran bandar pesisir Damour, 20 kilometer di selatan Beirut, dan anggota penyelamat menemui mayat seorang lelaki.
Jamaa Islamiya dalam kenyataan mengumumkan kematian Hussein Atwi, menyebutnya
sebagai ‘pemimpin akademik dan profesor universiti’ dan mengatakan serangan dron Israel ‘menyasarkan keretanya ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Beirut.’
Seorang pegawai keselamatan Lubnan, bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, berkata Atwi ialah seorang pemimpin sayap bersenjata Jamaa Islamiya, Al-Fajr Forces.
Pegawai itu mengatakan Israel telah menyasarkan Atwi sebelum ini semasa perang baru-baru ini dengan Hizbollah.
Seorang jurugambar AFP melihat bangkai kereta yang hangus di lokasi kejadian. Tentera Lubnan telah mengepung kawasan tersebut dan pasukan forensik sedang menjalankan pemeriksaan. – AFP
