Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Dua orang wanita adalah antara lapan peserta yang berjaya menamatkan Kursus Penyembelihan yang berjalan selama tiga bulan di bawah Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan menerima sijil masing-masing, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan sijil pada majlis yang berlangsung di Kafe dan Restoran PPB itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pangiran Haji Ali Hassan. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Belia dan Suka) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.
Para peserta kursus yang diraikan berkenaan ialah Awang Mohd Ikhwan Shafiq bin Mohd Sahmsul, Awangku Mohd Fadillah bin Pengiran Mohd Karim, Awang Atif Rabbani bin Abdul Rahim, Awang Mohd Akid bin Rosaini, Awang Sujaimi bin Saiman@Saman, Awang Ahmad Rusyde @Muhammad Nur Firdaus bin Rusli, Dayang Siti Nurazizah binti Rosazali dan Dayang Suzimah binti Abdul Wahab.
Salah seorang wanita yang ditemu bual, Dayang Siti Nurazizah berkata, beliau ingin mengetahui bagaimana penyembelihan dilakukan.
“Kita kerap melihat penyembelihan di TV jadi saya ingin belajar bagaimana menyembelih menurut hukum syarak dan kursus ini menawarkan peluang bagi wanita untuk belajar,” ujarnya sambil menambah, sebelum ini beliau tidak pernah melihat perempuan menjalankan penyembelihan jadi beliau ingin menjadi yang pertama.

Dayang Siti Nurazizah yang mempunyai perniagaan pastri di rumah mengongsikan, pertama kali beliau melakukan penyembelihan adalah semasa kursus berkenaan dan beliau sangat gugup dan bimbang melakukannya dengan betul.
“Selepas kursus ini, kami tahu bahagian mana untuk disembelih dan diproses,” ujarnya lagi.
Pembantu Pengarah PPB, Dayang Fauziah binti Haji Salleh dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa kursus berkenaan telah bermula pada 23 November 2020 dan menerima 10 pelatih bagaimanapun dua daripadanya telah menarik diri dengan hanya lapan berjaya menamatkannya.
Menurutnya lagi, dua pelatih adalah wanita dan dua lagi menyertai kursus tersebut bagi meningkatkan kemahiran sementara itu, seorang adalah pekerja RBC dan seorang lagi dari Hotel Wafa.
Semasa kursus berkenaan, PPB telah mendapat kerjasama daripada unit pembangunan industri ternakan dan Perkhidmatan Veterinar di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah Kementerian Hal Ehwal Ugama.