Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 22 OKT – Tiga suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti membawa barang-barang tegahan semasa operasi di kawasan Kampung Tanjung Bungar, Daerah Temburong.
Menurut kenyataan yang diterima, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sebelum penangkapan itu, telah menerima maklumat berhubung dua buah kenderaan yang mencurigakan dan dipercayai membawa barang-barang tegahan di kawasan tersebut.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Balai Polis Bangar telah menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan dan berjaya menahan kedua-dua buah kenderaan berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit menyimpan sebanyak 120 botol minuman keras pelbagai jenis dan satu paket rokok.
Susulan penemuan itu, tiga suspek masing-masing berumur dalam lingkungan 40 tahun, telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti membawa barang-barang tegahan.
Kesemua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
PPDB dalam kenyataannya menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan barang tegahan dan menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau menyalahi undang-undang kepada pihak polis melalui Talian Kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.



