LAHORE, PAKISTAN, 7 APRIL – Dua wanita telah ditangkap kerana mencekik hingga mati seorang dukun Pakistan menggunakan selendang selepas diperas selama bertahun-tahun berhubung video yang diambilnya mengenai wanita berkenaan, kata polis hari ini.
Wanita-wanita berkenaan memberitahu polis mereka telah meminta bantuan Riaz Hussain untuk menghapuskan sumpahan ilmu hitam tetapi sebaliknya dukun tersebut mengambil video menjatuhkan maruah yang diugutnya untuk disebarkan.
“Semasa siasatan, Riaz Hussain didapati telah menyerang wanita secara seksual sejak sekian lama dengan alasan penyembuhan rohani,” kata polis di bandar Multan di wilayah Punjab dalam satu kenyataan.
Wanita-wanita itu, dengan bantuan sepupu mereka dan seorang lagi lelaki, mencekik dukun menggunakan selendang sebelum membuang mayatnya.
Keempat-empatnya telah ditangkap kerana membunuh, kata polis, sambil menambah suspek kelima juga telah ditangkap.
Dukun dihormati oleh sesetengah komuniti di Pakistan dan arahan mereka perlu dipatuhi, menyebabkan eksploitasi meluas.
Seorang wanita hamil dibawa ke hospital dengan paku tertusuk di kepalanya pada tahun 2022 selepas seorang dukun berkata ia akan menjamin dirinya melahirkan anak lelaki.
Seorang lagi wanita meninggal dunia pada tahun berikutnya selepas diseksa dengan kayu selama berhari-hari oleh seorang dukun yang mendakwa mengikuti upacara pengusiran ilmu hitam. – AFP
