Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Seorang perempuan warga tempatan dan seorang pemilik agensi pekerjaan yang berlesen telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret baru-baru ini atas pertuduhan di bawah Perintah Agensi Pekerjaan 2004 kerana menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen dan meminjamkan lesen agensi pekerjaan kepada individu tanpa lesen.
Salah seorang pesalah ialah Norshikah binti Abdullah @ Chong Moi Lang, 63, mengaku telah menjalankan kegiatan agensi pekerjaan antara Mac hingga Mei 2024 tanpa lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Buruh.
Sementara itu, Hajah Norhayati binti Abdullah @ Margie Lyn Acto Vicente, 62, pemilik kepada agensi pekerjaan yang berlesen iaitu Nur Berjaya Employment Agency, juga mengaku bersalah kerana meminjamkan lesen agensi pekerjaannya kepada Norshikah dalam tempoh sama, yang membolehkannya menjalankan kegiatan bagi pengambilan pekerja asing secara haram.
Di bawah Bab 6 (1), Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, tiada seorang pun boleh menjalankan agensi pekerjaan melainkan dia adalah pemegang suatu lesen yang diberikan oleh Pesuruhjaya.
Sehubungan itu, di bawah Bab 31 (f), Perintah yang sama dan telah memperuntukkan larangan bagi pemegang lesen agensi daripada meminjamkan, memindah milik atau menyerahkan atau cuba meminjamkan, memindah milik atau menyerahkan lesen agensi mereka kepada orang lain.
Dalam kes tersebut, Norshikah telah didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayang Syazwani binti Jumat dengan satu tuduhan di bawah Bab 6 (1), Perintah Agensi Pekerjaan 2004 di hadapan Majistret Sharifah Nur Baqiyah binti Malai Shahran.
Manakala, pemilik syarikat Nur Berjaya Employment Agency turut didapati bersalah dan mengakui kesalahan yang telah dilakukan dengan satu tuduhan di bawah Bab 31 (f) dalam perintah yang sama.
Siasatan daripada Bahagian Agensi Pekerjaan di Jabatan Buruh telah mendedahkan bahawa satu permohonan Pesanan Kerja atas nama seorang majikan telah ditandatangani oleh Norshikah, yang disiasat dan didapati mempunyai urusan pengambilan pekerja domestik dengan majikan tersebut sekitar bulan Mac 2024, walaupun bukan sebagai salah seorang pekerja di bawah Nur Berjaya Employment Agency.
Siasatan turut mendedahkan bahawa Norshikah mengakui telah berurusan dengan majikan tersebut selama lebih lima tahun dengan membekalkan biodata pembantu rumah dan menerima bayaran pendahuluan $2,000 melalui resit peribadi sebelum diserahkan kepada pemilik Nur Berjaya Employment Agency untuk resit rasmi.
Setelah itu, pembayaran terakhir dibayar sebanyak $1,200 yang dibayar melalui pemindahan bank ke akaun bank milik Norshikah dan keuntungan daripada bayaran tersebut dibahagi sama rata dengan pemilik Nur Berjaya Employment Agency secara lisan tanpa resit rasmi.
Pemilik syarikat berkenaan turut mengakui telah membenarkan Norshikah menggunakan lesen dan dokumen agensi pekerjaannya untuk permohonan ke Jabatan Buruh.
Pemilik juga turut menerima wang sebanyak $600 daripada Norshikah bagi pembayaran terakhir pengambilan pekerja domestik yang telah dibahagi sama rata dengan Norshikah.
Bagi pertuduhan berkenaan iaitu pada 23 Ogos tahun ini, Norshikah telah dijatuhkan hukuman denda di bawah Bab 6(2), Perintah Agensi Pekerjaan 2004 sebanyak $1,000.00 dan jika gagal membayar denda, hukuman penjara selama sebulan bagi kesalahan yang dilakukan.
Manakala, pemilik Nur Berjaya Employment Agency juga telah dijatuhkan hukuman denda di bawah Bab 31, Perintah Agensi Pekerjaan 2004 sebanyak $2,000.00. Jika gagal membayar denda, hukuman penjara selama dua bulan bagi kesalahan yang dilakukan.
Tarikh akhir bagi kedua-dua tertuduh untuk membayar denda adalah bagi Norshikah pada 1 Oktober tahun ini dan bagi pemilik Nur Berjaya Employment Agency pada 30 Ogos tahun ini.
Jabatan Buruh ingin mengingatkan orang ramai untuk tidak menjalankan sebarang kegiatan agensi pekerjaan khasnya bagi tujuan proses pengambilan, membekalkan dan mendatangkan pekerja-pekerja asing ke Negara Brunei Darussalam untuk tujuan pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh.
Di samping itu, Jabatan Buruh juga ingin mengingatkan agensi pekerjaan yang berlesen untuk tidak meminjamkan lesen agensi kepada orang lain dan hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang di bawah Perintah Agensi Pekerjaan 2004.
Sehubungan itu, jabatan memohon kerjasama orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan sebarang pelanggaran Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, khususnya bagi kesalahan menjalankan kegiatan agensi pekerjaan tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh dengan menghubungi Bahagian Agensi Pekerjaan di talian 8753594 atau dengan menghantar emel kepada agensi.pekerjaan@buruh.gov.bn.
Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang Jabatan Buruh, di alamat http://www.labour.gov.bn/Theme/Home.aspx, untuk maklumat terkini bagi senarai agensi pekerjaan yang berlesen di Jabatan Buruh.


