Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua wanita didenda salah guna lesen agensi pekerjaan

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Dua wanita tempatan didenda oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku melakukan kesalahan di bawah Perintah Agensi Pekerjaan, 2004, kerana mengendalikan perkhidmatan agensi pekerjaan tidak berlesen dan menyalahgunakan lesen agensi yang sah.

    Hajah Dayang Tirahmat @ Hajah Dayang Siti Armah binti Haji Untong, 67, didenda $1,000, atau penjara sebulan jika gagal membayar, selepas dia mengaku bersalah menjalankan kerja agensi pekerjaan tanpa lesen yang sah antara Oktober 2023 dan Januari 2024.

    Sementara itu, Suyanti binti Haji Sarji, 56, pemilik berdaftar Agensi Pekerjaan Suyanti Sarji, didenda $2,000 atau penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut, selepas mengaku meminjamkan lesen agensinya kepada Hajah Dayang Tirahmat dalam tempoh yang sama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh memberitahu mahkamah Hajah Dayang Tirahmat telah membantu dua individu dalam pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dan seorang pemandu menggunakan lesen Suyanti.

    Dia berurusan dengan agensi pekerjaan Indonesia, berkongsi biodata calon pekerja dan menyediakan dokumentasi yang diperlukan. Dia menerima $9,000 dalam jumlah pembayaran – $3,000 tunai dan $6,000 melalui pindahan bank – dan mengeluarkan resitnya sendiri. Potongan sebanyak $200 bagi setiap pekerja diberikan kepadanya, manakala selebihnya menampung kos agensi dan pemprosesan.

    Gambar Freepik

    Siasatan mengesahkan Hajah Dayang Tirahmat tidak mempunyai lesen di bawah Perintah Agensi Pekerjaan, 2004.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga $5,000, penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

    Suyanti mengaku menyerahkan lesen dan dokumen berkaitan kepada Hajah Dayang Tirahmat, yang menggunakannya untuk permohonan di Jabatan Buruh. Suyanti menerima dua bayaran sebanyak $500 untuk kos pemprosesan.Tindakannya melanggar Seksyen 31(f) perintah yang sama, yang melarang pemegang lesen daripada meminjamkan lesen agensi mereka kepada orang lain.

    Majistret Syaffina Shahif menjatuhkan hukuman itu, dengan menyatakan kedua-dua defendan tidak mempunyai sabitan terdahulu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda