Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua warga asing, syarikat kena kompaun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Dua individu iaitu seorang warga Thailand dan seorang Indonesia telah dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang manakala sebuah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil , Penggal 30 Bab 12 (1) kerana membuang sampah di tempat awam, sekitar Kampung Kiarong, di ibu negara, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, dua orang individu dan syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan semasa pemantauan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan di mana individu serta syarikat berkenaan diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan kompaun.

    Jika mereka gagal membayar denda kompaun itu sebelum tarikh yang ditetapkan, mereka boleh didakwa di mahkamah di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.

    Manakala kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan untuk mengamalkan sifat bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah di tempat awam supaya alam sekitar tidak dicemari dengan sampah sarap.

    Mereka yang ingin menghadapkan sebarang aduan dan perkongsian maklumat berkaitan boleh disalurkan terus ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan di talian E-Darussalam: 123, e-mel: Info@123.gov.bn atau laman sesawang www.123.gov.bn atau WhatsApp ke, 8333123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda