Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua warga China maut dalam insiden bot di Bali

    SANUR, INDONESIA, 5 OGOS – Dua warga China maut manakala seorang warga Indonesia masih hilang selepas sebuah bot yang membawa puluhan penumpang karam dan terdampar dalam pelayaran menuju ke pulau pelancongan Bali, menurut pihak berkuasa penyelamat hari ini.

    Sebuah bot laju yang dalam perjalanan dari Nusa Penida ‘telah karam dan terdampar’ berhampiran pelabuhan Sanur di timur Bali, menurut agensi mencari dan menyelamat pulau itu dalam satu kenyataan.

    Ketua agensi penyelamat di ibu kota wilayah Bali, Denpasar, I Nyoman Sidakarya mengesahkan bahawa dua warga China terkorban manakala seorang lelaki Indonesia berusia 23 tahun masih belum ditemui.

    Menurut seorang wartawan AFP di lokasi kejadian, bot tersebut terbalik dan terdampar di pantai berhampiran pelabuhan Sanur. Agensi penyelamat tidak menyatakan punca kematian dua warga China berkenaan.

    Menurut agensi penyelamat di Denpasar, bot tersebut membawa 80 orang termasuk 73 warga asing, dua warga Indonesia dan lima kru.

    Insiden laut merupakan kejadian yang kerap berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan Asia Tenggara yang terdiri daripada kira-kira 17,000 pulau. Antara punca utama ialah standard keselamatan yang longgar dan keadaan cuaca buruk.

    Bulan lalu, sebuah feri karam dalam perjalanan ke Bali dari pulau Jawa Timur, menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang maut. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda