KATHMANDU, 8 APRIL – Pendaki gunung dari Nepal hari ini giat menjalankan operasi mencari dua individu yang dihanyutkan oleh runtuhan salji besar di Gunung Annapurna, gunung ke-10 tertinggi di dunia, menurut kenyataan pihak berkuasa.
Gunung Annapurna yang berketinggian 8,091 meter, terkenal sebagai pendakian yang berbahaya dan mencabar, serta memiliki kadar kematian yang lebih tinggi berbanding Gunung Everest.
Tiga lelaki sedang mendaki gunung tersebut dalam usaha pendakian pertama musim bunga ini apabila ‘runtuhan salji besar melanda’ sekitar tengah hari kelmarin, kata syarikat ekspedisi Seven Summit Treks.
Ketiga-tiga mereka sedang membawa silinder oksigen yang digunakan untuk pendakian ke puncak bagi kumpulan pendaki lain, apabila mereka terkena hentaman ketulan salji besar.
Dua pendaki – Ngima Tashi dan Rima Rinje – yang bekerja dengan Seven Summit Treks telah dihanyutkan oleh runtuhan tersebut.

“Fokus kami kini adalah pada usaha mencari dan menyelamat… helikopter juga telah digerakkan,” kata Thaneswar Guragai dari syarikat tersebut, hari ini.
Salah seorang daripada mereka dilaporkan masih sempat berpaut pada tebing dan selamat, menurut kenyataan syarikat itu.
“Kami akan lakukan yang terbaik untuk mengesan dan menyelamatkan rakan-rakan kami,” tambah mereka.
Nepal merupakan lokasi kepada lapan daripada 10 puncak tertinggi dunia dan menarik ratusan pendaki setiap musim bunga, apabila suhu menjadi lebih hangat dan angin biasanya tenang.
Runtuhan salji dan tanah runtuh adalah kejadian biasa di kawasan tinggi Himalaya, terutamanya ketika musim sejuk.
Para saintis menyatakan bahawa perubahan iklim akibat pembakaran bahan api fosil oleh manusia telah memburukkan lagi kejadian cuaca ekstrem, dipercepatkan oleh pemanasan lautan. – AFP