BANGKOK, 27 Dis – Sebuah mahkamah di Myanmar melanjutkan penahanan dua wartawan Reuters hari ini dan menetap tarikh perbicaraan mereka pada 14 Januari atas dakwaan mencabul rahsia negara.
Wa Lone dan Kyaw Soe Oo ditahan pada 12 Disember kerana memperoleh “kertas rahsia yang penting” daripada dua orang polis. Pegawai polis bekerja di negeri Rakhine, di mana penganiayaan yang dipersalahkan ke atas tentera telah mendorong lebih 630,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. Dakwaan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun.
“Kami hanya bekerja sebagai wartawan. Kami tidak pernah mencabul etika kewartawanan,” beritahu Wa Lone kepada wartawan ketika beliau dan rakan sekerjanya dibawa keluar dari van polis ke bilik mahkamah di Mingalardon, di pinggir bandar Yangon.

Keluarga mereka menangis apabila mereka melihat saudara mereka untuk kali pertama sejak ditahan.
“Saya mahu suami saya dibebaskan. Dan saya mempercayai bahawa dia tidak melanggar undang-undang,” kata isteri Wa Lone, Pan Ei Mon.
Pegawai AS, PBB dan Kesatuan Eropah adalah antara mereka yang meminta tahanan dibebaskan. – Agensi