Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duduk, berdiri seimbang

    ‘JANGAN duduk lama-lama’. Perkara ini memang telah diperingatkan sekian lama dalam puluhan artikel kesihatan. Dikatakan perbuatan duduk terlalu lama ini boleh mengundang pelbagai penyakit, antaranya kanser, diabetes jenis 2 dan menjadikan kita kelihatan cepat tua.

    Malah dalam kajian terkini yang diterbitkan pada September 2017 dalam penerbitan Annals of Internal Medicine, mereka yang gemar duduk terlalu lama juga boleh menambah risiko mati pada usia muda.

    Terkini, dikatakan anda juga tidak membantu kesihatan diri kalau berdiri terlalu lama! Menurut kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Epidemiology Amerika itu, mereka yang berdiri terlalu lama dikatakan mudah mengalami penyakit jantung.

    Kajian selama 12 tahun ini melihat tabiat di tempat kerja 7,000 peserta di Ontario, Kanada. Mereka yang berdiri sewaktu bekerja didapati lebih banyak, iaitu sekali ganda, berkemungkinan mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang duduk sepanjang hari.

    Antara pekerjaan yang memerlukan seseorang berdiri dalam jangka masa yang lama ialah juruwang, jurujual, cef dan pekerja dalam bidang penjagaan kesihatan.

    Dalam kajian terkini yang diterbitkan pada September 2017 dalam penerbitan Annals of Internal Medicine, mereka yang gemar duduk terlalu lama boleh menambah risiko mati pada usia muda. – Gambar hiasan

    Sebanyak 6.6 peratus mereka yang banyak berdiri di tempat kerja mengalami penyakit jantung, menyamai peratusan masalah jantung yang dikesan di kalangan mereka yang merokok sepanjang hari (5.8 peratus) atau mereka yang obes (6.9 peratus).

    Dalam kajian-kajian lain yang berkaitan, perkara ini berlaku kerana tabiat berdiri terlalu lama meningkatkan tekanan pada salur darah dan menggandakan tekanan oksidatif, yang menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung.

    Selain itu, mereka juga boleh mengalami sakit belakang yang kronik dan masalah musculoskeletal di bahagian kaki.

    Bagi mengelakkan masalah ini, pengarang kajian ini, Peter Smith menasihatkan mereka yang perlu berdiri sewaktu kerja, kerap melakukan senaman regangan semasa rehat untuk melegakan otot-otot mereka.

    Jadi, hendak berdiri atau duduk? Sebaiknya bergilir-gilir, kalau boleh, antara duduk dan berdiri setiap 30 minit sekali.

    Mungkin anda yang duduk dalam jangka masa yang panjang menyangka masalah kesihatan anda boleh diatasi jika anda bersenam. Maaf, tidak boleh begitu. Mereka yang duduk sepanjang hari dan kemudian bersenam, tetap menghadap risiko kesihatan akibat duduk terlalu lama.

    Menurut penyelidik dalam kajian terbaru mengenai bahaya duduk itu, pengumpulan masa sedentari yang banyak (kerana duduk) adalah sikap yang berbahaya untuk kesihatan, tidak kira macam mana masa itu terkumpul. Bagaimanapun, mereka yang kitaran duduknya lebih lama mempunyai risiko lebih tinggi untuk mati berbanding mereka yang kitaran duduknya pendek, tapi berulang kali. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda