(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Tahiyat Awal adalah salah satu daripada sunat-sunat ab‘adh dalam sembahyang. Jika tertinggal atau sengaja ditinggalkan Tahiyat Awal ini, tidaklah membatalkan sembahyang, akan tetapi sunat sujud sahwi bagi menambal kekurangan tersebut.
Bagaimana pula hukumnya bagi orang yang meninggalkan Tahiyat Awal kerana terlupa atau sengaja, kemudian dia duduk kembali untuk mengerjakannya? Adakah perkara ini boleh membatalkan sembahyang atau boleh menjejaskan kesempurnaannya? Perkara ini ada kalanya menimbulkan kekeliruan serta berbagai persoalan terutama sekali jika ia berlaku ketika sembahyang berjemaah.
Bagi mengetahui kedudukan hukum duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal yang ditinggalkan sama ada kerana terlupa atau sengaja ini, perlulah diperhatikan keadaan serta permasalahan berikut:
Duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal yang tertinggal atau ditinggalkan sebelum sempurna mengerjakan qiyam (berdiri betul)
Jika seseorang itu terlupa untuk mengerjakan Tahiyat Awal lalu dia bangkit untuk mengerjakan rakaat yang seterusnya, kemudian dia teringat semula akan Tahiyat Awalnya itu sebelum dia sempurna mengerjakan qiyam, maka sunat dia duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal itu kerana dia belum lagi dikira sudah masuk mengerjakan suatu pekerjaan rukun (qiyam). Kemudian hendaklah dia mengerjakan sujud sahwi jika kedudukan bangkitnya untuk qiyam sebelum itu lebih dekat kepada keadaan qiyam.
Akan tetapi, jika kedudukan bangkitnya untuk qiyam sebelum itu lebih dekat kepada keadaan duduk, ataupun bersamaan jaraknya di antara keadaan duduk dan qiyam, maka dalam hal ini dia tidak perlu mengerjakan sujud sahwi.
Berlainan pula halnya jika dia sengaja bangkit untuk meneruskan rakaat yang seterusnya dengan niat untuk meninggalkan Tahiyat Awal, lalu dia sengaja pula duduk kembali selepas itu untuk mengerjakan Tahiyat Awal yang telah ditinggalkannya dengan sengaja itu. Perbuatan ini boleh membatalkan sembahyang jika kedudukan bangkitnya sebelum itu lebih dekat kepada keadaan qiyam.
Ini kerana perbuatan seumpama ini dianggap menambah-nambah perbuatan sembahyang dengan sengaja. Akan tetapi jika kedudukan bangkitnya sebelum itu lebih dekat kepada keadaan duduk, maka yang demikian itu tidaklah membatalkan sembahyang.
Duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal yang tertinggal atau ditinggalkan setelah sempurna mengerjakan qiyam
Jika orang tersebut terlupa untuk mengerjakan Tahiyat Awal, lalu dia teringat kembali untuk mengerjakannya, sedangkan pada ketika itu dia sudah pun sempurna mengerjakan qiyam, maka haram baginya untuk duduk kembali selepas itu untuk mengerjakan Tahiyat Awal tersebut kerana dia dikira sudah pun masuk mengerjakan suatu pekerjaan rukun (qiyam). Ini kerana suatu pekerjaan rukun dalam sembahyang tidak boleh ditinggalkan atau diputuskan semata-mata kerana hendak mengerjakan suatu pekerjaan sunat.
Sekiranya dia dengan sengaja duduk kembali selepas itu untuk mengerjakan Tahiyat Awal tersebut, dan dia mengetahui akan keharamannya, maka batallah sembahyangnya kerana dia telah menambah perbuatan sembahyang dengan sengaja.
Akan tetapi, jika dia duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal itu kerana jahil atau terlupa akan keharamannya, maka dalam hal ini tidaklah batal sembahyangnya. Bagaimanapun, disyaratkan ke atasnya supaya bangkit kembali untuk mengerjakan qiyam dan meninggalkan Tahiyat Awal tersebut sebaik sahaja dia mengetahui akan hukumnya atau sebaik sahaja dia teringat akan kelalaiannya atau kesilapannya kembali duduk untuk mengerjakan Tahiyat Awal itu tadi. Selain itu, sunat ke atasnya mengerjakan sujud sahwi. Ini kerana setiap perkara yang jika dilakukan dengan sengaja akan membatalkan sembahyang, jika ianya dilakukan dengan tidak sengaja, misalnya kerana terlupa, jahil dan sebagainya, disunatkan ke atasnya sujud sahwi.
Imam tidak mengerjakan Tahiyat Awal kerana terlupa atau sengaja
Jika imam telah pun bangkit dan sempurna mengerjakan qiyam dan meninggalkan Tahiyat Awal, maka makmum tidak boleh duduk menunggu imam dengan andaian bahawa imam itu akan duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal, bahkan wajib makmum bangkit mengikut imam untuk mengerjakan qiyam. Ini kerana perbuatan seumpama ini akan membatalkan sembahyang makmum tersebut kerana melakukan perbuatan yang sangat bersalahan (fahsy al-mukhalafah) dengan perbuatan imam.
Jika makmum tersebut tetap sahaja sengaja duduk menunggu imam dengan andaian bahawa imam tersebut akan kembali duduk mengerjakan Tahiyat Awal, sedangkan makmum tersebut mengetahui bahawa perbuatan seumpama itu akan membatalkan sembahyangnya, maka batallah sembahyangnya jika dia tidak berniat mufaraqah (berpisah daripada imam). Menurut imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, dalam perkara seumpama ini (imam terlupa atau sengaja meninggalkan Tahiyat Awal), mufaraqah daripada imam itu adalah lebih utama.
Sekiranya imam sudah bangkit dan sempurna mengerjakan qiyam dan meninggalkan Tahiyat Awal, lalu dia duduk kembali sebelum makmum mula bangkit untuk mengerjakan qiyam, maka haram bagi makmum untuk duduk mengerjakan Tahiyat Awal bersama imam, bahkan wajib ke atas makmum untuk bangkit serta merta bagi mengerjakan qiyam kerana qiyam itu wajib ke atas makmum dengan bangkitnya imam itu tadi untuk mengerjakan qiyam. Maka jika berlaku perkara seumpama ini, mufaraqah itu adalah lebih utama daripada menunggu imam tersebut dalam qiyam.
Begitu juga halnya jika imam dan makmum kedua-duanya sudah bangkit dan sempurna mengerjakan qiyam dan meninggalkan Tahiyat Awal. Jika imam duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal yang tertinggal atau ditinggalkannya itu, maka makmum tidak boleh mengikut imam tersebut untuk duduk semula mengerjakan Tahiyat Awal.
Jika keadaan ini berlaku, maka makmum mempunyai dua pilihan, iaitu:
Mufaraqah.
Berdiri menunggu imam kerana mengambil andaian bahawa imam tersebut kembali duduk untuk mengerjakan Tahiyat Awal kerana tersilap atau lupa akan keharamannya, dan mengambil andaian bahawa imam tersebut akan bangkit semula untuk mengerjakan qiyam setelah dia teringat akan kelalaian dan kesilapannya kembali duduk untuk mengerjakan Tahiyat Awal itu.
Bagaimanapun, menurut imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, mufaraqah itu adalah lebih utama.
Jika makmum tersebut kembali duduk juga untuk mengerjakan Tahiyat Awal bersama imam, maka jika dia terlupa ataupun jahil tentang keharamannya, maka yang demikian itu tidaklah membatalkan sembahyangnya. Akan tetapi, jika makmum tersebut sengaja melakukannya sedangkan dia mengetahui akan keharamannya, maka batallah sembahyangnya.
Makmum meninggalkan Tahiyat Awal kerana terlupa atau sengaja
Jika makmum bangkit dan telah pun sempurna mengerjakan qiyam kerana terlupa untuk mengerjakan Tahiyat Awal, sedangkan imam duduk mengerjakan Tahiyat Awal, maka menurut pendapat yang ashah (paling sahih), wajib ke atas makmum tersebut untuk kembali duduk bagi mengerjakan Tahiyat Awal bersama imam kerana mutaba‘ah (mengikut) imam itu hukumnya wajib dan ianya lebih dituntut.
Begitu juga halnya jika kedua-dua imam dan makmum tersebut bangkit untuk mengerjakan qiyam kerana terlupa untuk mengerjakan Tahiyat Awal, kemudian imam tersebut teringat semula untuk mengerjakannya sebelum dia sempurna mengerjakan qiyam, lalu dia duduk kembali untuk mengerjakan Tahiyat Awal sedangkan makmum pada ketika itu sudah pun sempurna mengerjakan qiyam, maka menurut pendapat yang ashah, wajib ke atas makmum tersebut untuk duduk kembali bagi mengerjakan Tahiyat Awal bersama imam kerana sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa mutaba‘ah imam itu hukumnya wajib dan lebih dituntut.
Sekiranya makmum yang telah bangkit dan telah pun sempurna mengerjakan qiyam kerana terlupa untuk mengerjakan Tahiyat Awal itu tetap sahaja dengan sengaja meneruskan qiyamnya dan tidak duduk kembali mengerjakan Tahiyat Awal untuk mengikut imamnya, sedangkan dia mengetahui akan keharamannya, maka batallah sembahyang makmum tersebut jika dia tidak berniat mufaraqah.
Walau bagaimanapun, jika makmum tersebut sengaja mengerjakan qiyam dan sengaja meninggalkan Tahiyat Awal, sedangkan imam duduk atau kembali duduk untuk mengerjakan Tahiyat Awal, maka menurut ulama, tidaklah wajib ke atasnya untuk kembali duduk mengerjakan Tahiyat Awal bersama-sama imam, bahkan ianya hanyalah sunat sahaja. Maka dalam hal ini, makmum tersebut boleh memilih sama ada hendak meneruskan qiyamnya ataupun kembali duduk untuk mengerjakan Tahiyat Awal bersama-sama imam.
Mudah-mudahan dengan maklumat serta penjelasan mengenai hukum serta permasalahan duduk semula untuk mengerjakan Tahiyat Awal yang ditinggalkan kerana terlupa atau sengaja ini akan dapat menambahkan lagi ilmu kita mengenai sembahyang dan sekaligus membantu kita untuk menyempurnakannya ibadah yang paling utama dalam Islam ini sepertimana yang dituntut oleh syarak dan sekaligus meningkatkan lagi kualiti peribadatan kita terhadap Allah SWT.