Wednesday, April 9, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dukung tiga keutamaan belanjawan negara

    Oleh Sim Y.H –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun Kewangan 2024/2025 telah disokong untuk disediakan peruntukan berjumlah sebanyak $566,321,410 di mana sebanyak $321,284,710 bagi gaji kakitangan dan $245,036,700 bagi perbelanjaan berulang-ulang.

    Anggaran perbelanjaan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya dirangka dengan memberikan penekanan kepada matlamat dan keutamaan perbelanjaan yang mendukung tema Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2024/2025, Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur.

    “JPM sebagai agensi utama dalam menerajui dan menyelaras pelaksanaan fungsi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menjunjung sepenuhnya hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam terus meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan sebagai pemangkin kepada pembangunan perekonomian negara yang berdaya tahan, serta menjaga kepentingan, keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara serta rakyat dan penduduk di negara ini.”

    Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menjelaskan perkara itu ketika membentangkan peruntukan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya pada hari ke-12 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi bahawa ia juga selaras dengan visi Pelan Strategik JPM iaitu kepimpinan dan urus tadbir yang cemerlang dan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi ketika membentangkan peruntukan pada Persidangan MMN di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Dalam hubungan itu, JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya menyasarkan pelaksanaan anggaran perbelanjaannya berasaskan usaha-usaha mendukung tiga keutamaan belanjawan negara yang telah ditetapkan iaitu Meningkatkan Kesejahteraan dan Produktiviti Awam, Memupuk Kepelbagaian Ekonomi yang Mampan serta Pembangunan Modal Insan yang Dinamik dan Berwawasan.

    Dalam mendukung keutamaan untuk Meningkatkan Kesejahteraan dan Produktiviti Awam, jelas Yang Berhormat Pehin, JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan terus bertindak merangka strategi ke arah memelihara kestabilan politik, mempertahankan kedaulatan negara serta mendukung usaha-usaha berkaitan pertahanan dan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa termasuk perencanaan kebangsaan dalam menangani ancaman kepada keselamatan.

    “Justeru, agensi-agensi keselamatan negara akan senantiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, khasnya orang awam sebagai penekanan kepada pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation.”

    Sementara itu, dalam menyokong keutamaan memupuk kepelbagaian ekonomi yang mampan, beliau menyatakan JPM melalui Jabatan Tenaga terus giat berusaha dalam mengekalkan sektor huluan bagi tujuan mendukung usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi negara dan secara langsung, dengan memperkembangkan lagi sektor hiliran minyak dan gas.

    Dalam menyokong keutamaan pembangunan modal insan yang dinamik dan berwawasan, Yang Berhormat Pehin berkata JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan terus melaksanakan program-program pembangunan kapasiti bagi meningkatkan kemahiran para penjawat awam di negara ini.

    Dalam mendukung ketiga-ketiga keutamaan belanjawan yang telah dihuraikan itu, Yang Berhormat Pehin berkata, dari sudut urus tadbir Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 di bawah Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035, yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, yang mana selaras dengan usaha mengukuhkan lagi urus tadbir Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035, JPM melalui Pejabat Wawasan Brunei sedang melaksanakan inisiatif bagi mendapatkan sijil pengiktirafan sistem kualiti pengurusan (ISO Certification) bagi Pejabat Wawasan Brunei.

    “Inisiatif ini akan memberikan penilaian terhadap keberhasilan pencapaian Wawasan Brunei 2035, termasuk verifikasi ke atas KPI Kebangsaan melalui perspektif dan pengesahan bebas, peningkatan kualiti Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035, termasuk kualiti KPI Kebangsaan, penekanan kepada data dan pembuatan keputusan berasaskan bukti dan pengenalpastian dan pengurusan risiko yang boleh menjejaskan pencapaian Wawasan Brunei 2035, melalui pemikiran berasaskan risiko.”

    Yang Berhormat Pehin turut menekankan bahawa usaha-usaha Tahun Kewangan 2024/2025, juga dihasratkan untuk mendukung Program Fiscal Consolidation dalam memastikan perbelanjaan secara berhemat dan berkeutamaan tinggi yang menekankan nilai untuk wang di samping terus memastikan kawalan dalaman adalah mencukupi berkaitan pengurusan kewangan setiap jabatan ke arah mencapai keberhasilan yang dihasratkan menerusi perbelanjaan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda