PenyanyiRadhi OAG mendedahkan sudah tiga tahun berjaya menjauhkan diri daripada tabiat menghisap vape atau rokok elektronik yang pernah menjadi rutin hariannya.
Menurut Radhi atau Muhammad Radhi Razali, 48, perubahan besar itu berlaku selepas dia mengalami sesak nafas yang serius, sekali gus menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
Menurut laporan mStar, Radhi melihat kejadian itu juga dianggap sebagai petunjuk serta amaran untuk dia mengubah gaya hidup ke arah lebih sihat.
“Masa tu saya memang tegar hisap vape. Sampai waktu makan, waktu tidur, bahkan waktu bercakap pun saya hisap vape”.
Katanya lagi, “saya anggap vape tu sedap sangat, sampai nak tinggalkan pun sangat susah”.
“Saya alami sesak nafas dan rasa itu cubitan daripada Allah sebagai petunjuk supaya berhenti. Memang itu titik perubahan buat saya,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Radhi turut menegaskan vape sebenarnya lebih berbahaya berbanding rokok. Vape ini bahaya sangat sebenarnya, lagi teruk daripada rokok.
“Tengoklah sekarang banyak artikel dan berita yang keluarkan keburukan vape,” ujarnya.
Dalam usaha untuk kekal kuat dan menjauhi vape, Radhi mendedahkan dia mendapat kekuatan melalui amalan berselawat yang menjadi ‘makanan harian’ baginya.
“Saya dapat kekuatan dengan berselawat, kira selawat macam jadi makanan harian saya sekarang. Dulu saya makan asap, sekarang saya makan selawat,” jelasnya. – Agensi


