Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    DUN Sarawak lucutkan kelayakan wakil rakyat DAP

    KUCHING, 12 Mei – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini melucutkan kelayakan wakil rakyat DAP Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut pada persidangan DUN hari ini.

    Speaker Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar membuat keputusan itu, dipercayai kes pertama di Malaysia, selepas Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh membentangkan usul untuk melucutkan kelayakan Dr Ting.

    Wong membuat usul itu atas dasar wakil rakyat DAP berkenaan mempunyai kerakyatan Australia yang dilepaskannya pada 4 April 2016, tiga minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri.

    Beliau juga berkata Dr Ting telah diisytiharkan muflis dua kali di Australia di bawah Pihak Berkuasa Kewangan Sekuriti Australia pada 24 Jun 2012 dan 11 Sept 2012.

    Wong berkata Dr Ting sebagai warganegara Australia, juga merupakan pengundi berdaftar di Australia. Beliau berkata semua itu melanggar Perkara 17(1)(G) Perlembagaan Negeri Sarawak.

    Beliau berkata atas pelanggaran ini, Dr Ting tidak layak menjadi anggota DUN dan patut dilucutkan kelayakan kerana beliau telah memberi ikrar kesetiaan kepada negara lain. Wong berkata DAP dalam tergesa untuk mendapatkan calon bagi kerusi itu, telah gagal menyiasat latar belakang calonnya untuk mewakili parti dan harus menyesali tindakannya. Usul itu telah mencetuskan pertikaman lidah antara Mohamad Asfia dan Wong serta Pengerusi DAP Sarawak Chong Cheng Jen dan Dr Ting. Apabila perkara itu dikemukakan untuk pengundian, 70 ADUN menyebelahi manakala 10 anggota daripada DAP dan PKR menentang usul itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda