Sunday, October 6, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunia belum bersedia hadapi perubahan iklim

    PARIS, 25 JUN – Dunia belum bersedia menghadapi peningkatan kebakaran hutan yang dicetuskan oleh perubahan iklim, kata saintis, ketika kebakaran meletus dari Amerika Utara ke Eropah semasa musim panas hemisfera utara dalam tahun paling panas pernah dicatat.

    Kebakaran hutan telah melanda Turkiye, Kanada, Greece dan Amerika Syarikat (AS) pada awal musim ini apabila gelombang haba melampau mendorong suhu naik ke paras tertinggi.

    Walaupun sumber tambahan telah dicurahkan untuk meningkatkan usaha memadam kebakaran dalam beberapa tahun ini, pakar berkata tidak adanya perancangan dan persiapan untuk menghadapi bencana tersebut.

    “Kami sebenarnya masih menangani situasi itu,” kata Stefan Doerr, pengarah Pusat Penyelidikan Kebakaran Hutan di Universiti Swansea UK.

    Meramalkan sejauh mana kebakaran menjadi buruk, atau di mana dan bila ia akan berlaku, adalah mencabar. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi ramalan kebakaran, termasuk keadaan cuaca tempatan.

    Gambar menunjukkan kepulan asap dan api marak di Ruidoso, Mexico pada 17 Jun lalu. – AP

    Tetapi secara keseluruhan, kebakaran hutan semakin besar dan lebih teruk, kata Doerr, yang mengarang bersama kertas kerja baru-baru ini, mengkaji kekerapan dan intensiti peristiwa ekstrem tersebut.

    Kajian berasingan yang diterbitkan pada bulan Jun mendapati kekerapan dan magnitud kebakaran hutan yang ekstrem nampaknya telah meningkat dua kali ganda sejak 20 tahun lalu.

    Menjelang akhir abad ini, jumlah kebakaran hutan ekstrem di seluruh dunia dijangka meningkat 50 peratus, menurut laporan 2022 oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Doerr berkata manusia belum lagi bersedia berdepan dengan realiti itu.

    “Kami jelas belum cukup bersedia untuk situasi yang kami hadapi sekarang,” katanya.

    Perubahan iklim adalah pemacu utama, walaupun faktor lain seperti penggunaan tanah dan lokasi pembangunan perumahan memainkan peranan besar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda