BUENOS AIRES, 28 MAC – Dari Singapura hingga ke Buenos Aires, bandar-bandar di seluruh dunia menutup lampu-lampu kelmarin untuk menandakan Earth Hour, dengan acara tahun ini menunjukkan kaitan antara kemusnahan alam semula jadi dengan peningkatan wabak seperti COVID-19.
Selepas bermula di Asia, gesaan untuk mengambil langkah perubahan iklim kini sampai ke seluruh dunia setelah pandemik koronavirus.
Ketika hari hampir berlalu, kini giliran benua Amerika, di mana lampu-lampu dimalapkan di Obelisk, Buenos Aires, Museum of Tomorrow, Rio de Janeiro dan menara BBVA terletak Bandar Mexico.
Di London, Dewan Parlimen, roda Ferris London Eye, pencakar langit Shard dan papan tanda neon Piccadilly Circus antara mercu tanda yang memalapkan lampunya.
“Berita yang sangat hebat bahawa parlimen sekali lagi mengambil bahagian dalam Earth Hour, menyertai mercu tanda di seluruh negara dan dunia demi meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim,” kata Lindsay Hoyle, Speaker parlimen.

Sementara itu di Paris, tiga tingkat menara Eiffel digelapkan tetapi hanya sebilangan kecil orang yang menyaksikan acara tersebut disebabkan keseluruhan negara melaksanakan perintah berkurung COVID-19 bermula pukul 7 malam.
Menara besi gergasi itu ditutup kepada orang ramai sejak 30 Oktober kerana pandemik.
Manakala di Rom, lampu dipadamkan di Colosseum berusia 2,000 tahun, sementara pihak polis menguatkuasakan sekatan koronavirus memeriksa dokumen ke atas kumpulan kecil.
Di Asia Pasifik bermula ketika malam menjelang, dengan bangunan pencakar langit di metropolis bermula Singapura hingga Hong Kong bertukar gelap, serta bangunan mercu tanda termasuk Rumah Opera Sydney.
Tahun ini, penganjur berkata mereka mahu menunjukkan kaitan antara kemusnahan dengan peningkatan penyakit seperti COVID-19, berpindah dari haiwan kepada manusia.- AFP