Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Dunia boleh intai penamatan COVID-19 tahun ini

    GENEVA, 24 JAN – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hari ini bahawa seluruh dunia boleh menamatkan kecemasan COVID-19 tahun ini, walaupun virus itu minggu lalu membunuh seseorang setiap 12 saat.

    “Kita boleh menamatkan COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan global dan kita boleh melakukannya tahun ini,” Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu lembaga eksekutif agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

    Untuk berbuat demikian, negara perlu bekerja lebih keras untuk memastikan akses yang saksama kepada vaksin dan rawatan, menjejaki virus dan variannya yang muncul serta mengekalkan sekatan, menurut amarannya.

    WHO selama berbulan-bulan menuntut negara-negara melakukan lebih banyak untuk mempercepatkan pengedaran vaksin di negara-negara miskin, menyeru semua negara untuk memvaksin sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi menjelang pertengahan tahun ini.

    Separuh daripada 194 negara anggota WHO terlepas sasaran sebelum ini untuk memberi vaksin kepada 40 peratus rakyat mereka menjelang akhir 2021 dan 85 peratus orang di Afrika masih belum menerima satu pukulan, kata Tedros.

    “Kita tidak boleh menamatkan fasa kecemasan pandemik melainkan kita merapatkan jurang ini,” katanya.

    “Secara purata minggu lepas, 100 kes dilaporkan setiap tiga saat dan seseorang kehilangan nyawa akibat COVID-19 setiap 12 saat,” tambahnya.

    COVID-19 telah membunuh lebih 5.5 juta orang sejak pertama kali muncul pada akhir 2019 dan bilangan kes telah dipacu ke tahap rekod oleh varian Omicron baharu. – AFP

    Petugas kesihatan membawa pesakit yang dijangkiti COVID-19 ke hospital Saint Petersburg. Ketua WHO berkata dunia boleh menamatkan pandemik COVID-19 tahun ini. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...