GENEVA, 16 APRIL – Rundingan yang telah berjalan selama beberapa tahun akhirnya membuahkan hasil awal pagi hari ini, apabila negara-negara bersetuju dengan teks perjanjian bersejarah mengenai cara menangani pandemik pada masa akan datang, dengan matlamat mengelakkan berlaku kesilapan seperti krisis COVID-19.
Selepas lebih tiga tahun perbincangan dan satu sesi maraton terakhir, delegasi di ibu pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya mencapai persetujuan sekitar jam 2 pagi, hari ini.
“Malam ini menandakan detik penting dalam perjalanan bersama kita ke arah dunia yang lebih selamat,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Tambahnya, “Negara-negara dunia telah mencipta sejarah di Geneva hari ini.”
Lima tahun selepas kemunculan COVID-19, yang meragut jutaan nyawa, melumpuhkan ekonomi dan sistem kesihatan, rundingan tersebut dihambat rasa terdesak, dengan ancaman baharu seperti selesema burung H5N1, campak, mpox dan Ebola semakin membimbangkan.
Fasa akhir rundingan juga berlangsung dalam suasana ketidakpastian akibat pemotongan perbelanjaan bantuan asing Amerika Syarikat dan ancaman tarif terhadap produk farmaseutikal.
Teras utama perjanjian adalah cadangan mewujudkan Sistem Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat (PABS), yang membolehkan perkongsian data patogen secara pantas dengan syarikat farmaseutikal, bagi mempercepat penghasilan produk untuk memerangi pandemik.
Ketika rundingan tertutup menghampiri penghujung pada malam kelmarin, Tedros memberitahu wartawan draf tersebut adalah ‘seimbang’ dan kesepakatan akan membawa kepada ‘lebih banyak keadilan’.
Melihat ke hadapan, persatuan industri farmaseutikal menyatakan perlindungan harta intelek dan kepastian undang-undang adalah penting untuk memastikan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan berisiko tinggi pada masa akan datang. – AFP
