Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunia catat rekod peningkatan kepekatan gas rumah hijau pada 2022

    LOS ANGELES, 7 SEPT – Dunia mencatatkan rekod tertinggi untuk peningkatan kepekatan gas rumah hijau, paras air laut dan kandungan haba lautan pada tahun lepas, menurut tinjauan tahunan iklim global yang diterbitkan dalam talian kelmarin.

    Laporan penilaian tahunan ke-33 yang disusun oleh Pusat Maklumat Alam Sekitar Kebangsaan (NCEI) Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) itu berdasarkan sumbangan daripada lebih 570 saintis di lebih 60 negara, lapor Xinhua.

    Laporan itu juga menyediakan kemas kini paling komprehensif tentang penunjuk iklim Bumi, peristiwa cuaca dan data lain yang dikumpul oleh stesen dan instrumen pemantauan alam sekitar yang terdapat di darat, air, ais dan di angkasa.

    Menurut laporan itu, kepekatan gas rumah hijau Bumi adalah yang tertinggi pada 2022.

    Kepekatan karbon dioksida, metana dan nitrus oksida iaitu gas rumah hijau atmosfera utama bumi, sekali lagi mencatat rekod pada 2022.

    Purata kepekatan karbon dioksida ialah 417.1 parts per million (ppm), iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada tahap praindustri dan 2.4 ppm lebih tinggi daripada jumlah 2021.

    Pemandangan udara menunjukkan bandar Santiago, Chile diselubungi oleh asbut. Dunia mencatatkan rekod tertinggi untuk peningkatan kepekatan gas rumah hijau, paras air laut dan kandungan haba lautan pada tahun 2022.- AFP

    Jumlah berkenaan adalah yang tertinggi dalam pemerhatian moden serta dalam rekod paleoclimatic sejak 800,000 tahun.

    Laporan itu turut mendapati, trend pemanasan berterusan di seluruh dunia menyaksikan suhu permukaan global tahunan adalah 0.25 hingga 0.30 darjah Celsius melebihi purata 1991-2020.

    Tahun 2022 adalah antara enam tahun paling panas sejak rekod bermula pada pertengahan hingga akhir 1800an.

    Fenomena La Nina di Lautan Pasifik di khatulistiwa yang bermula pada pertengahan 2020 berterusan sepanjang 2022.

    Gelombang haba memecahkan rekod suhu di seluruh planet, dengan bulan Julai mengalami gelombang haba selama 14 hari di barat Eropah.

    Musim panas yang panas di bahagian tengah dan timur Asia, khususnya di lembangan Sungai Yangtze, membawa kepada kemarau teruk yang menjejaskan lebih 38 juta orang dan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak AS$4.75 bilion, menurut laporan itu.

    Sementara itu, haba lautan dan paras laut global mencapai rekod tertinggi baharu pada 2022.

    Purata aras laut global adalah yang tertinggi untuk tahun ke-11 berturut-turut, mencecah kira-kira 101.2mm. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda