Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Dunia dalam kecemasan iklim, bertindak sekarang’

    GENEVA, 11 SEPT – Perubahan iklim kini mencetuskan kecemasan hak asasi manusia di pelbagai negara, kata Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, sambil mengecam penyebaran maklumat salah yang menyebabkan kekacauan dan kekeliruan untuk menafikan realiti tersebut.

    Dalam ucapannya di Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk merujuk kepada contoh-contoh terkini ‘kengerian alam sekitar yang merupakan krisis global,’ termasuk di Basra, Iraq, di mana ‘kemarau, panas terik, pencemaran ekstrem dan bekalan air segar yang semakin berkurang mencipta landskap tandus penuh serpihan dan debu.’

    “Kemusnahan yang kian meruncing ini adalah kecemasan hak asasi manusia bagi Iraq, dan banyak lagi negara,” katanya dalam ucapannya sempena pembukaan sesi ke-54 majlis itu di Geneva.

    “Perubahan iklim sedang mendorong jutaan penduduk dunia ke dalam bencana kelaparan.

    “Ia memusnahkan harapan, peluang, rumah dan kehidupan. Dalam beberapa bulan yang lalu, amaran mendesak telah menjadi realiti yang membawa kematian berulang kali di seluruh dunia,” kata Turk.

    Dua orang awam berpayung melindungi diri mereka daripada terik matahari di taman Tuileries, Paris, kelmarin. Gelombang perubahan iklim di seluruh dunia bukan lagi amaran, malahan tindakan diperlukan untuk menanganinya sekarang, kata pegawai PBB. –AFP

    “Kita tidak memerlukan lebih banyak amaran. Masa depan distopia (ketidakadilan) perubahan iklim itu sudah tiba. Kita memerlukan tindakan segera sekarang,” jelasnya.

    Beliau berucap selepas pertemuan G20 pada hujung minggu yang menyokong matlamat untuk menggandakan tiga kali kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030, namun gagal untuk memberi komitmen kepada penghapusan bahan api fosil secara berperingkat.

    Ketika kesan perubahan iklim semakin memaksa lebih ramai orang meninggalkan rumah mereka, Turk berkata beliau ‘terkejut dengan sikap acuh tak acuh’ terhadap peningkatan jumlah kematian pendatang.

    Beliau menekankan, “Lebih daripada 2,300 orang yang dilaporkan mati atau hilang di Mediterranean tahun ini.

    “Di tengah-tengah masalah membukit dihadapi dunia, Turk mengutuk penipuan politik. Dengan bantuan teknologi baharu, pembohongan dan maklumat salah dikeluarkan secara besar-besaran untuk mencetuskan kacau bilau, kekeliruan dan akhirnya menidakkan realiti sekali gus memastikan tiada tindakan diambil yang boleh membahayakan kepentingan kubu elit,” katanya.

    “Kes paling nyata daripada ini ialah perubahan iklim,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda