GENEVA, 3 MEI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran tentang kemungkinan besar fenomena cuaca El Nino akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang, mencetuskan suhu global yang lebih tinggi dan kemungkinan rekod haba baharu.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia PBB berkata ia kini menganggarkan terdapat 60 peratus kemungkinan El Nino akan berlaku menjelang akhir Julai, dan 80 peratus peluang ia akan terjadi menjelang akhir September.
El Nino, yang merupakan corak iklim yang berlaku secara semula jadi dan biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia, serta kemarau di beberapa kawasan dunia dan hujan lebat di tempat lain, kali terakhir berlaku pada 2018-19.
Sejak 2020, dunia telah dilanda La Nina yang luar biasa panjang – yang berakhir awal tahun ini, kembali kepada keadaan neutral semasa.
Namun, PBB berkata lapan tahun lalu adalah yang paling hangat pernah direkodkan, walaupun kesan penyejukan La Nina berlarutan hampir separuh tempoh itu. Tanpa fenomena cuaca itu, keadaan pemanasan boleh menjadi lebih teruk.
La Nina ‘bertindak sebagai brek sementara terhadap peningkatan suhu global’, kata ketua WMO, Petteri Taalas dalam satu kenyataan.
“Perkembangan El Nino berkemungkinan besar akan membawa kepada peningkatan baharu dalam pemanasan global dan meningkatkan peluang untuk memecahkan rekod suhu,” katanya.
Sejak kesan El Nino ke atas suhu global biasanya berlangsung setahun selepas ia muncul, kesannya mungkin paling ketara pada 2024, katanya. – AFP