Monday, January 27, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Dunia harus kurangkan pencemaran plastik’

    PARIS, 16 MEI – Dunia mesti mengurangkan separuh plastik sekali guna dan mengurangkan penggunaan barangan pakai buang untuk membendung arus pencemaran alam sekitar, menurut laporan PBB pada hari ini yang memberi amaran bahawa beberapa tahun akan datang adalah kritikal.

    Kebimbangan semakin meningkat tentang kesan mikroplastik dihasilkan apabila produk plastik terurai di alam sekitar yang ditemui dari lautan terdalam hingga ke puncak Gunung Everest.

    Pada manusia, produk berkenaan telah dikesan dalam darah, susu ibu dan plasenta.

    Laporan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) keluar dua minggu sebelum perunding dari hampir 200 negara bertemu di Paris untuk pusingan baharu rundingan yang bertujuan mencapai perjanjian undang-undang tahun depan untuk menamatkan pencemaran plastik.

    Ia membentangkan pelan serampang tiga mata berdasarkan penggunaan semula, kitar semula dan mempelbagaikan bahan yang digunakan untuk membantu mengurangkan pencemaran plastik 80 peratus menjelang 2040 secara keseluruhan dan mengurangkan pengeluaran plastik sekali guna sebanyak separuh.

    Laporan itu memetik penyelidikan menganggarkan plastik mungkin mengeluarkan 19 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global menjelang 2040.

    Itu pada dasarnya akan menghalang dunia daripada memenuhi komitmen Perjanjian Paris untuk mengehadkan kenaikan suhu purata planet kepada 1.5 darjah Celsius di atas paras pra industri. – AFP

    Gambar ilustrasi menunjukkan ikan hering mati terperangkap dalam bungkusan plastik berdekatan Pietarsaari, semasa ais lautan cair perlahan-lahan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda