Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunia imaginasi, kreativiti rumah patung miniatur

    LONDON – Sebatang kayu di bakar di dalam perdiangan di bilik lukisan yang terang benderang. Kerusi tangan kelihatan mewah dan menarik. Gelas dan sebotol wain disusun kemas ketika jam besar menunjukkan waktu.

    Semuanya boleh dilihat dalam majalah fesyen tetapi setiap objek yang dibuat dengan teliti di dalam bilik itu boleh dimuatkan dalam tapak tangan.

    “Saya suka rumah Victoria (abad ke-19) dan sentiasa mahu tinggal di rumah berkenaan tetapi ia tidak pernah berlaku,” kata peminat rumah anak patung, Michele Simmons sambil ketawa, mengagumi pemandangan miniatur yang selesa oleh pakar sejarah, Mulvany & Rogers.

    Pengurus rekrut korporat berusia 57 tahun itu menghidupkan semula minat zaman kanak-kanaknya untuk rumah anak patung semasa pandemik COVID-19 dan sejak itu telah ‘meneliti’ kira-kira 10 buah, membeli, membina dan menjualnya.

    Dia bersama anak perempuannya tidak terfikir untuk terbang sepanjang malam dari Boston di Amerika Syarikat untuk mencari langsir kecil dan katil anak damit di festival Kensington Dollshouse terkemuka di London.

    “Saya sukakannya! Awda tidak memikirkan apa-apa lagi apabila awda melakukan ini,” beritahunya kepada AFP, mengakui dia sering terpaksa diheret keluar dari tempat kerjanya untuk memberi makan kepada anak-anaknya ketika dia menjadi amat leka dalam hobinya.

    ATAS & BAWAH: Orang ramai menghadiri pameran Rumah Anak Patung London di London. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar menunjukkan miniatur di Pameran Rumah Patung London di London. – AFP

    MINIATUR YANG INDAH

    Festival tahunan itu telah mengumpulkan beberapa pakar kraf miniatur terbaik dunia sejak 1985, meraikan hobi yang telah menyaksikan peningkatan minat baru-baru ini dan aktiviti dalam talian yang semakin berkembang pesat.

    Ia mempamerkan versi miniatur apa sahaja yang diperlukan untuk menghiasi rumah, daripada candelier dan lukisan kepada meja makan mahogani dan barangan dapur, semuanya pada harga yang tinggi.

    Rumah anak patung biasanya dikaitkan dengan kanak-kanak, tetapi koleksi miniatur mewah ini merupakan hobi orang dewasa.

    “Ia adalah artisan yang bekerja dan menghasilkan objek yang amat cantik dan halus buatannya,” kata Rachel Collings, yang mengaku dirinya ‘amat taksub’ dengan objek kenit, dan membeli mainan daripada pelukis miniatur terkenal, Laurence & Angela St. Leger.

    Setiap pembeliannya, yang berharga sekurang-kurangnya £40 (AS$53), muat dalam bekas plastik kecil dan akan ditambahkan kepada koleksi barangan yang sama kecilnya.

    “Saya ada setengah biji limau yang dipotong. Bayangkan saiznya. Pemerah limau dan berus pastri dan pemukul telur tangan yang benar-benar berfungsi,” kata editor berusia 47 tahun itu.

    “Ia adalah jiwa keanak-anakan. Barang-barang berkenaan sungguh cantik.”

    Rumah anak patung berasal dari Eropah pada tahun 1500an apabila ia digunakan untuk mempamerkan barang-barang kecil milik orang kaya.

    Sama seperti festival di London, apa yang dipanggil ‘rumah anak damit’ ini hanya dikhaskan untuk orang dewasa, bukan kanak-kanak.

    Bidan yang sudah bersara, Susan Evans, 67, dalam kunjungan tahunannya dari Colwyn Bay di utara Wales, bukan sekadar mempunyai sebuah rumah anak patung.

    “Saya mempunyai seluruh kampung,” katanya. “Ia mempunyai 18 kedai zaman Victoria, sebuah sekolah, sebuah rumah manor, sebuah pub dan kini sebuah gereja,” katanya sambil menambah gereja itu berharga lebih £4,000.

    Pada mulanya hobi itu hanya menghilangkan tekanan untuk membantunya berehat, tetapi dia kini telah mengumpulkan beribu-ribu pound untuk menganjurkan lawatan berkumpulan untuk melihat pameran di rumahnya.

    “Ia minat mendalam saya. Ia adalah eskapisme dan ia tentang menggunakan imaginasi awda, yang saya fikir sangat baik untuk kesihatan mental awda,” katanya.

    ‘DALAM KAWALAN’

    Penganjur Kensington Dollshouse, Charlotte Stokoe berkata pada masa ini timbulnya minat besar terhadap rumah anak patung dan miniatur berbanding sebelum pandemik.

    “Apabila dunia menjadi agak gila dengan begitu banyak tekanan dalam kehidupan setiap orang, hobi tersebut membawa ketenangan. Awda mampu mengawal keadaan,” katanya, sambil menambah ramai orang berasa gembira apabila mengeluarkan rumah anak patung lama semasa sekatan COVID-19.

    Dan pada masa kos meningkat, katanya, orang ramai ‘mendapati mereka boleh melakukan reka bentuk dalaman yang mungkin tidak boleh dilakukan mereka dengan rumah mereka sendiri – namun dalam skala kecil-kecilan ia dapat dilakukan.’

    Pakar antropologi perubatan, Dalia Iskander dari University College London (UCL) telah menghabiskan tiga tahun menyelidik subjek untuk bukunya yang akan datang bertajuk Miniature Antidotes.

    “Bagi kebanyakan orang, ia adalah satu cara untuk meneroka pengalaman dan kenangan dan imaginasi mereka sendiri serta menggabungkannya dalam dunia kecil ini,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda