Oleh Nurul Halawati Mohamad Azhari
PENGISIAN Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan berubah selari dengan penjenamaan semulanya sebagai Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (Istac).
Jika dahulunya institut yang banyak mengukir sejarah gemilang itu melakukan pelbagai penyelidikan berkaitan negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Libya, Afrika Utara, Turki dan Jordan, kini tumpuan akan diberikan kepada Ketamadunan Islam dalam Dunia Melayu di rantau ini.
Menurut Timbalan Dekan Istac, Profesor Madya Dr. Hafiz Zakariya, Istac bakal menjadi hab rujukan bagi penyelidikan serta aktiviti-aktiviti akademik dan bukan akademik dalam bidang-bidang yang ditawarkan.
Malah, institut itu juga akan memberi penekanan kepada kegiatan sosio-budaya yang merangkumi pengkajian segenap aspek kehidupan dan ketamadunan di Malaysia serta dimensi lain di Nusantara yang mempunyai hubung kait dengan Dunia Islam.
“Istac akan menjadi pelopor dalam melahirkan bakat, sarjanawan dan kepakaran baru dalam bidang berkaitan dan ini dirangka melalui kegiatan pengajian pasca-siswazah, pasca-kedoktoran dan felo akademik.



“UIAM turut menyokong Istac dalam menggalakkan kegiatan di bidang seni halus, kesusasteraan dan kebudayaan selain melibatkan pengajian akademik yang memperlihatkan keperluan semasa seperti perbankan Islam dan teknologi halal,” jelas beliau dalam temu bual dengan Bernama.
Naik taraf sebagai institut
Mengimbau sejarah, Istac ditubuhkan sebagai Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC) pada 1987, dan kemudiannya dinamakan Pusat Dunia Melayu Dan Ketamadunan Islam (Dunia Melayu) pada 2016. “Walaupun terdapat Institut Pengajian Melayu di beberapa universiti awam lain, Dunia Melayu UIAM berbeza kerana ia disatukan dengan sejarah ketamadunan Islam, ” jelas Hafiz.
Namun, tambah Hafiz, selepas satu tahun Dunia Melayu beroperasi, pihak universiti berpendapat ia perlu dinaik taraf sebagai sebuah institut. Hasrat itu berjaya dijelmakan dengan berlangsungnya majlis perasmian institut berkenaan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Oktober 2017.
Dalam ucapan perasmian, Ahmad Zahid mengumumkan kelulusan peruntukan RM10 juta kepada Istac berikutan penjenamaan semula itu, bagi merancakkan pelbagai penyelidikan serta kegiatan akademiknya.
Beliau yang turut menekankan bahawa agar nama Istac yang sudah tersohor dikekalkan berkata, institut berkenaan juga akan bertindak sebagai hab pelbagai jaringan dan persefahaman di kalangan institut yang memiliki kecenderungan serupa di rantau Nusantara dan di luarnya.
Ahmad Zahid menyifatkan kajian menyeluruh mengenai hubungan dunia Melayu serta tamadun Islam yang mempunyai banyak persamaan akan dapat memberi manfaat kepada pembangunan tamadun Melayu lebih cemerlang pada masa hadapan seperti tamadun Islam sebelum ini.
Kajian Nusantara dan Turki
Menjelaskan selanjutnya tentang kegiatan Istac, Hafiz berkata sejak ditubuhkan Institut itu banyak tertumpu kepada wacana ilmiah, kegiatan kebudayaan dan penerbitan serta pertukaran pelajar.
Tambah beliau, kebanyakan pelajar yang terlibat dalam program pertukaran pelajar adalah dari Turki kerana UIAM turut bekerjasama dengan Universiti Fatih Sultan Mehmet Vakif Turki (UFSMV), Istanbul dalam menubuhkan Pusat Dunia Melayu-Uthmaniah di universiti berkenaan.
Kajian yang dijalankan merangkumi sosio budaya dan ekonomi rantau Nusantara dan Turki khususnya meliputi hubungan diplomatik dalam perdagangan Islam selain kebudayaan dan bahasa serta perbankan dan kewangan Islam. Institut yang terletak di UIAM Kampus Kuala Lumpur di Taman Duta itu adalah cetusan idea Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Rais Yatim.
Antara Program Akademik yang ditawarkan adalah Master of Art (Islamic Thought and Civilization), Doktor Falsafah (Islamic Thought and Civilization) dan Seni Bina Melayu dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Sains dan Teknologi di Dunia Melayu.
Tempoh pengajian yang ditawarkan adalah empat semester (dua tahun) bagi pelajar sepenuh masa dan lapan semester (empat tahun) bagi program separuh masa.
Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Menurut Hafiz, Istac juga berbangga untuk berkongsi kemudahan perpustakaannya yang menempatkan kira-kira 150,000 bahan ilmiah, kebanyakannya dibangunkan oleh para ahli falsafah dan sarjana terkemuka sejak awal penubuhannya.
Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas dikenali di serata dunia oleh pencinta ilmu dan ahli akademik kerana koleksi hebat dan tidak ternilainya termasuk manuskrip Bahasa Melayu, Arab, Parsi dan banyak lagi yang merangkumi pengajian Islam, perbezaan pemikiran, falsafah dan ketamadunan.
Koleksi khas yang tersimpan di perpustakaan itu boleh dikatakan antara yang paling dicemburui dan dicari-cari oleh setiap perpustakaan di seluruh dunia. Antaranya adalah Koleksi Lengkap Ibrahim Muteferrika, iaitu satu-satunya yang berada di luar Istanbul dan manuskrip berusia 800 tahun berkaitan ilmu astronomi oleh Abu Rayhan Muhammad ibn Ahmad Al-Biruni, atau lebih dikenali sebagai Al-Biruni.
Terdapat juga dua koleksi ulung daripada Dunia Melayu iaitu manuskrip Sirat al-Mustaqim oleh Syeikh Nuruddin Ar-Raniri (1644M), Hikayat Binatang (1846M) dan Al-Quran abad ke-17, manuskrip tertua dalam Dunia Melayu setakat ini. Perpustakaan itu juga menyimpan beberapa kelengkapan perang seperti baju perisai, pedang, pisau, senapang dan pelbagai artifak dunia Islam yang kebanyakannya adalah peninggalan kerajaan Turki Uthmaniah, Moghul India, Afghanistan, Iran, Algeria dan Maghribi daripada abad ke-18 dan ke-19. – Bernama