Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunia perlu belajar hidup dengan gelombang haba – PBB

    GENEVA, 1 JULAI – Dunia perlu belajar untuk menyesuaikan diri dengan gelombang haba, kata agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, ketika sebahagian besar Eropah dilanda suhu musim panas yang tinggi.

    Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menyatakan pada masa akan datang, manusia boleh menjangkakan gelombang haba akan berlaku lebih kerap dan dengan intensiti lebih kuat akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.

    Jurucakap WMO, Clare Nullis berkata bulan Julai secara tradisi merupakan bulan paling panas dalam setahun di hemisfera utara, namun episod haba melampau yang berlaku seawal musim panas ini adalah sesuatu yang luar biasa, walaupun bukan kali pertama berlaku.

    Beliau berkata haba melampau sering digelar sebagai ‘pembunuh senyap’, kerana angka kematian sering kali tidak digambarkan secara jelas dalam statistik rasmi berbanding, contohnya, taufan tropika.

    “Penting untuk ditekankan bahawa setiap kematian akibat haba adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Kita memiliki pengetahuan dan alat yang diperlukan, kita mampu menyelamatkan nyawa,” tambahnya.

    Gambar AFP

    Eropah Barat kini dibelenggu suhu tinggi akibat sistem tekanan tinggi atmosfera, beritahu Nullis dalam satu taklimat media di Geneva.

    “Keadaan ini menyebabkan udara panas dari Afrika Utara terperangkap di rantau berkenaan dan seperti yang kita lihat, ia memberi kesan besar terhadap apa yang kita rasa dan bagaimana kita bertindak,” katanya.

    Salah satu faktor utama dalam gelombang haba ini ialah suhu permukaan laut yang luar biasa tinggi di Mediterranean.

    “Ia boleh diumpamakan seperti gelombang haba di daratan. Laut Mediterranean kini mengalami gelombang haba marin yang amat melampau dan keadaan ini cenderung meninggikan lagi suhu panas di kawasan daratan,” ujar Nullis.

    Beliau turut menyatakan bahawa kesan ‘pulau haba bandar’ memburukkan lagi keadaan di kawasan bandar, kerana kekurangan tumbuhan hijau yang boleh menyerap haba dan permukaan konkrit yang memantulkan semula haba. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda