GENEVA, 27 JULAI – Dunia perlu segera mencari pendekatan global untuk mengawal selia kecerdasan buatan (AI), kata ketua teknologi tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu ini, memberi amaran bahawa perpecahan boleh meningkatkan risiko dan ketidaksamaan.
Doreen Bogdan-Martin, ketua agensi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) PBB, memberitahu AFP dia berharap AI, “sebenarnya boleh memberi manfaat kepada manusia”.
Tetapi kebimbangan terus meningkat oleh teknologi yang bergerak pantas termasuk kebimbangan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran, penyebaran maklumat yang palsu dan salah serta kemelut masyarakat dan dia menegaskan bahawa peraturan adalah penyelesaian.
“Terdapat keperluan mendesak untuk cuba mendapatkan rangka kerja yang betul,” katanya sambil menekankan keperluan untuk ‘pendekatan global’.
Komennya dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump minggu ini mendedahkan strategi agresif dan peraturan tahap rendah yang bertujuan memastikan AS terus mendahului China dalam AI.
Di antara lebih 90 cadangan, rancangan Trump memerlukan penyahkawalseliaan secara menyeluruh, dengan pentadbiran berjanji untuk, “menghapuskan kerenah birokrasi dan peraturan yang membebankan” yang boleh menghalang pembangunan AI sektor swasta.
Ditanya sama ada dia bimbang dengan pendekatan yang lebih longgar tentan peraturan teknologi AI, Bogdan-Martin, berkata dia, “masih cuba mencerna” rancangan AS.
“Saya fikir terdapat pendekatan yang berbeza. Kita mempunyai pendekatan EU. Kami mempunyai pendekatan Cina. Sekarang kami melihat pendekatan AS. (Tetapi) Saya fikir apa yang diperlukan ialah kerjasama,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa, “85 peratus negara belum mempunyai dasar atau strategi AI”.
Tema yang konsisten antara strategi yang wujud ialah tumpuan kepada inovasi, pembinaan kapasiti dan pelaburan infrastruktur, kata Bogdan-Martin.
“Saya fikir (pendekatan) di peringkat global ialah cuba memikirkan berapa banyak atau sedikit peraturan yang diperlukan,” katanya.
“Keperluan untuk pendekatan global yang saya fikir adalah kritikal,” katanya sambil mengingatkan bahawa “pendekatan berpecah-belah tidak akan membantu berkhidmat dan menjangkau semua pihak”.
Ketua ITU terseubt turut memuji kemajuan dalam AI yang menambah baik segala-galanya daripada segi pendidikan, pertanian kepada penjagaan kesihatan.
Namun tanpa usaha bersepadu, terdapat risiko bahawa AI akan akhirnya hanya ‘memajukan ketidaksamaan’, menurutnya lagi dan mengingatkan agar jangan menambah jurang digital yang sudah teruk di seluruh dunia.
“Kami mempunyai 2.6 bilion orang yang tidak mempunyai akses kepada Internet, bermakna mereka tidak mempunyai akses kepada kecerdasan buatan”, kata Bogdan-Martin.”Kita perlu menangani jurang ini jika kita benar-benar mahu sesuatu yang bermanfaat kepada semua manusia.” – AFP
