Oleh Salawati Haji Yahya
Sejak penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2020, khidmat penghantar barang atau lebih dikenali sebagai runner semakin mendapat sambutan yang menggalakkan.
Hal ini berikutan dengan negara bergelut mengawal penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan menyarankan untuk terus berada di rumah dan hanya keluar bila perlu saja dengan mematuhi langkah prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal.
Pemilihan penggunaan perkhidmatan runner dilihat tepat dan mudah dalam melancarkan lagi proses penghantaran makanan atau barangan secara terus kepada pelanggan yang membuat pembelian secara dalam talian.
Khidmat runner ini semakin ketara dilihat semasa gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini dan melihat kepada sambutan khidmat itu, pihak berkaitan telah mengatur beberapa langkah ke arah memastikan keselamatan semua bukan saja bagi runner tapi juga yang menerima barang tersebut.
Mementingkan langkah keselamatan
Sebagi langkah bagi menjaga kepentingan, keberadaan serta kesejahteraan pihak sektor perniagaan, pihak runner dan khususnya orang ramai semasa negara menghadapi situasi penularan wabak COVID-19, para runner disarankan dan diperlukan untuk membuat pendaftaran melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan, para runner juga diperlukan untuk membuat ujian swab COVID-19 di Pusat Swab Pandu Lalu Bridex sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi memastikan ujian mereka negatif daripada jangkitan COVID-19. Para runner juga dikehendaki untuk mengemaskini tarikh terakhir membuat ujian swab setelah mereka mendapat keputusan ujian swab mereka.
Cabaran sebagai runner berdaftar
Sementara temu bual media dengan beberapa orang yang menjalankan perkhidmatan runner berkongsi pengalaman mereka semasa pandemik ini.
Temu bual media dengan Surinah Abang pemilik D.A.F Runner Service yang berdaftar telah menjalankan khidmat runner sejak empat tahun yang lalu dan sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan.
Beliau menjelaskan, dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggannya terdapat beberapa perkara yang terpaksa di lalui yang antara dari segi pencarian rumah yang tidak mempunyai alamat yang tepat dan juga penghantaran di kawasan pedalaman.
Selain itu, sepanjang penglibatan dalam menjadi runner ini, beliau juga pernah berhadapan dengan pelanggan yang bersikap kasar namun tidak dinafikan sesetengah pelanggan memberikan kerjasama yang baik yang membuatkan hati gembira walaupun merasa penat.
Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah SOP, Surinah sentiasa memakai pelitup muka dan sanitasi tangan semasa membuat penghantaran dan barang-barang yang akan dihantar akan disanitasi terlebih dahulu kecuali beberapa barang lain seperti makanan dan kanta lekat.
Manakala temu bual dengan salah seorang lagi runner berdaftar, Shafie yang baharu melibatkan diri sebagai runner semasa gelombang kedua COVID-19 setelah pihak relevan membukakan peluang untuk menjadi runner berdaftar.
Timbulnya hasrat untuk menjadi runner ini setelah melihat banyak masa yang terluang pada ketika itu dan oleh kerana beliau suka melakukan perjalanan membuatkan beliau memilih untuk melakukan khidmat sebagai runner yang berdaftar.
Sejak memberikan khidmat runner, antara tugas yang telah dilaksanakan bukan saja membuat penghantaran barang kepada penerimanya malah beliau turut membuat penghantaran makanan kepada petugas barisan hadapan di setiap pusat-pusat kuarantin.
Selain sentiasa menggunakan sanitasi tangan sebelum dan selepas membuat penghantaran, beliau akan terus membersihkan diri sesudah sampai di rumah setelah menyelesaikan tugasan.
Shafie menjadikan aplikasi peta jalan untuk memudahkan lagi sampai ke lokasi yang dituju namun ada kalanya beliau mengalami masalah di mana peta jalan tersebut tidak dapat digunakan sepenuhnya.
Ketika berkongsi pengalaman, semasa melakukan penghantaran minuman ke Kampung Wasan dengan menggunakan peta jalan untuk sampai ke alamat yang diberikan namun sebaik sampai di alamat yang diberikan hanya merupakan rumah usang yang sudah tidak didiami.
Beliau juga pernah membantu warga emas yang meminta untuknya mengambil ubat disebabkan anak-anaknya menjalani tempoh kuarantin dan tinggal berjauhan dari mereka.
“Jika ada runner pandai mengatur perjalanan dan komunikasi dengan pelanggan, ia bukan saja memudahkan tugasan yang diamanahkan tapi ia juga membawa pulangan yang baik kepada runner itu sendiri.
“Bagi yang berhasrat untuk memberikan khidmat runner ini sebagai pendapatan tetap atau sambilan, mereka perlu bersedia bukan saja dari segi mental tapi juga fizikal lebih-lebih dalam semasa pandemik ini di mana setiap runner itu mestilah bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugasa mereka.
“Apa yang lebih penting juga supaya sentiasa memastikan setiap barang yang dihantar atau diambil itu bukan barangan yang menyalahi undang-undang,” jelasnya.