Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunia ‘sekat’ China, kematian cecah 213

    BEIJING, 31 JAN – Negara-negara di seluruh dunia mempertingkatkan sekatan perjalanan dari China hari ini selepas darurat kesihatan global diisytiharkan bagi epidemik berjangkit yang sudah pun membunuh 213 orang di China.

    Hampir 10,000 orang dijangkiti di China dan seluruh dunia dengan koronavirus baharu, 2019-nCoV dan kes-kes jangkitan baharu pula muncul di luar negara, dengan lebih daripada 20 negara kini terjejas oleh virus itu.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lewat semalam mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan global, namun ia tidak merekomenkan sebarang larangan perjalanan perdagangan atau perjalanan orang serta menggesa negara-negara yang mengambil langkah-langkah seumpamanya untuk mempertimbangkannya semula.

    Walau bagaimanapun, negara-negara di seluruh dunia terus meningkatkan pengekangan perjalanan. Jabatan Negara AS menaikkan amaran perjalanan ke tahap tertinggi, memberitahu warga Amerika ‘untuk tidak melakukan perjalanan’ ke China dan menggesa mereka yang sudah pun berada di sana untuk segera meninggalkannya.

    Singapura, Vietnam dan Mongolia pula mengambil langkah lebih drastik. Memetik kemungkinan satu ‘peningkatan mendadak’ dalam penyebaran virus, kerajaan Singapura melarang ketibaan dan transit bagi penumpang yang melawat China dalam masa 14 hari lalu dan memberhentikan sebarang pengeluaran visa baharu kepada pemegang pasport warga China.

    Seorang pekerja kesihatan memeriksa suhu seorang kanak-kanak dari Wuhan, China yang melancong bersama keluarga ke Bangkok, Thailand ketika mereka menunggu pesawat sewa membawa mereka pulang ke Wuhan. –AP

    Mongolia pula melarang warga China dan orang asing datang dari negara jiran melalui pesawat, kereta api atau jalan darat bermula Sabtu sehingga 2 Mac. Warga Mongolia pula dilarang daripada pergi ke China dalam tempoh yang sama.

    Di Vietnam, Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc mengarahkan penggantungan visa pelancong baharu kepada warga China dan orang asing yang pergi ke China dalam masa dua minggu lalu. Perdagangan dengan China juga ‘tidak digalakkan’ sehinggalah wabak itu reda, katanya.

    Jepun menyertai Britain, Jerman dan beberapa negara lain lagi merekomenkan warganya agar mengelak China. Manakala Rusia pula menutup sempadan terpencil di timur jauhnya berhampiran China dan Papua New Guinea pula melarang semua pelawat dari ‘pelabuhan Asianya’ sementara syarikat-syarikat penerbangan pula minggu ini menggantung atau mengurangkan penerbangan ke China.

    Beberapa buah negara pula hanya menyekat kemasukan pelawat dari Wuhan, bandar di tengah wilayah Hubei di mana virus itu mula muncul. China pula bertindak menyelamatkan warganya dari beberapa negara dengan menyewa pesawat ke Thailand dan Malaysia untuk membawa pulang penduduk Hubei kembali ke Wuhan, memetik ‘kesukaran’ yang mereka hadapi di luar negara.

    WHO hanya mengisytiharkan darurat kesihatan global lima kali semenjak amalan itu bermula dalam 2007—bagi selesema khinzir, polio, Zika dan dua kali untuk Ebola. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda