DUNIA ini hanyalah persinggahan kepada manusia sebelum hidup kekal abadi di akhirat kelak. Bagaimanapun, ramai dalam kalangan umat Islam terpedaya dengan godaan syaitan sekali gus menganggap dunia sebagai syurga abadi.
Ketahuilah sesungguhnya dunia itu sangat rendah pada pandangan Allah SWT, dibenci oleh para kekasihNya serta sekutu bagi orang-orang yang memusuhi-Nya.
Dianggap sangat rendah pada pandangan Allah kerana dunia cenderung menghalang jalan bagi para kekasih Allah untuk menuju kepadaNya.
Dibenci oleh para kekasihNya kerana dunia menghiasi pandangan mereka dengan segala perhiasan dan memperdaya mereka dengan keindahan serta keelokkannya. Dianggap sekutu bagi musuh-musuh Allah kerana kesempatan memetik sesuatu dari dunia terbuka bagi mereka berserta segala tipu daya yang menghiasinya.
Penjara
Justeru, para nabi diutuskan bagi menyeru manusia menuju ke jalan akhirat. Di alam dunia ini diturunkan kita kitab suci Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia.


Seperti diriwayatkan, ketika Rasulullah di samping seekor kambing yang sudah menjadi bangkai, Baginda bertanya kepada para sahabat: “Tidakkah kamu melihat bangkai ini tidak berharga pada pemiliknya?”
Para sahabat menjawab, “Ya.” Baginda melanjutkan, “Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman kekuasaan-Nya, sesungguhnya bagi Allah ini lebih rendah daripada bangkai kambing itu bagi pemiliknya.
“Seandainya dunia ini bernilai berbanding dengan sayap seekor nyamuk di sisi Allah, maka orang kafir tidak akan meminum airnya walau seteguk.”
Kemudian Baginda berpesan: “Dunia ini laksana penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga kepada orang kafir.” Abu Musa al-Asy’ari berkata: Rasulullah pernah berpesan kepada kami: ‘Sesiapa sangat mencintai urusan dunianya, bererti ia telah membahayakan urusan akhiratnya.
‘Sesiapa mencinta urusan akhirat, bererti ia telah membelenggu tipu daya dunia kepada dirinya. Oleh itu, utamakanlah yang kekal daripada yang fana.’
Pernah suatu ketika Abu Bakar as-Siddiq menangis tidak henti-henti. Tidak lama kemudian, Abu Bakar mengesat air matanya. Orang-orang di sekelilingnya bertanya, “Wahai Khalifah Rasulullah, apa yang membuatkan kamu menangis?”
Abu Bakar menjawab: “Aku pernah bersama Rasulullah. Tiba-tiba Baginda terlihat menyingkirkan sesuatu dari sisinya, padahal aku tidak lihat seorang pun berada di sisi Baginda kala itu.
Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau singkirkan?” Baginda menjawab, ‘Tipu daya dunia tiba-tiba menjelma di depanku. Maka aku menyingkirkannya, namun dia tetap datang.’ Kemudian Baginda bersabda: “Sangat menghairankan, ada orang yang percaya pada akhirat, namun tetap terpedaya oleh dunia penuh tipu daya ini.”
Hamba dunia
Nabi Isa AS pernah bersabda: “Janganlah engkau menjadikan dunia sebagai tuhan, nanti ia akan menjadikanmu sebagai hamba.” Justeru, hendaklah seorang hamba membekali diri untuk kepentingan akhiratnya. Dari hidup untuk kematiannya dan dari muda untuk masa tuanya.
Dunia ini diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan bagi tujuan negeri akhirat. Demi tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman kekuasaanNya, tidak ada amal yang dapat diperbaiki sesudah kematian menjemput.
Tidak ada tempat kembali sesudah kehidupan dunia ini selain syurga atau neraka. Ibnu Abbas ra pernah menyampaikan: “Sesungguhnya Allah membelah dunia ini kepada tiga bahagian. Satu untuk orang mukmin, satu bahagian kepada golongan munafik dan sisanya untuk orang kafir.
“Orang mukmin akan menggunakannya hanya sebagai bekal, orang-orang munafik menjadikannya sebagai perhiasan dan orang-orang kafir untuk nikmat.” – Agensi