SAN FRANCISCO, 7 Nov – Kevin Durant dan Draymond Green membawa Golden State Warriors bagi kemenangan 97-80 ke atas Miami Heat semalam untuk memberikan juara NBA itu kemenangan keempat berturut-turut.
Durant menjaringkan 21 mata dengan lapan ‘rebound’ sementara Green dengan 18 mata dan sembilan ‘rebound’ ketika Warriors dipaksa untuk bekerja keras oleh pasukan Miami di Oracle Arena.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan Warriors memperbaiki kedudukan 8-3 dalam senarai Western Conference, yang meletakkan mereka di samping pendahulu Houston.
Dua pemain Warriors, Klay Thompson dan Stephen Curry mengharungi malam yang sepi, dengan Thompson menjaringkan 13.

Curry menambah 16 tetapi memiliki malam senyap daripada jaringan tiga mata, yang menghasilkan dua dari sembilan percubaan. Pada keseluruhannya, pasukan Warriors serba tidak kena dengan lontaran mereka ke jaring dari gelanggang, yang hanya menghasilkan 36.8 peratus percubaan.
Penjaring terbanyak Miami adalah James Johnson dengan 21 mata, disusuli dengan Goran Dragic yang menjaringkan 19 dan Kelly Olynk dengan 10.
Pasukan Warriors melebarkan pendahuluan 50-37 pada separuh masa pertama tetapi tidak pernah jauh meninggalkan pasukan Miami.
Heat berjaya mengurangkan defisit 20 mata kepada hanya 10 mata pada suku ketiga tetapi Warriors mampu untuk menghalang pesaing mereka bagi persaingan selebihnya. – AFP