LOS ANGELES, 10 MAC – Kevin Durant akan berehat sekurang-kurangnya tiga minggu kerana kecederaan buku lali, kata Phoenix Suns semalam.
Durant, yang menyertai Phoenix dalam pertukaran pemain blokbuster dari Brooklyn bulan lalu, cedera semasa sesi memanaskan badan pada Rabu lalu yang sepatutnya menjadi penampilan sulungnya di tempat sendiri menentang Oklahoma City Thunder.
Pemain berusia 34 tahun itu kemudiannya menarik diri daripada perlawanan akibat kecederaan buku lali kiri. The Suns berkata semalam, Durant terseliuh di buku lali kiri dan terpaksa berehat untuk tempoh masa tertentu.
“Penilaian lanjut telah mengesahkan bahawa penyerang Phoenix Suns, Kevin Durant telah mengalami kecederaan buku lali kiri,” pasukan itu mengumumkan.
“Dia akan dinilai semula dalam masa tiga minggu,” jelas pasukan itu.
Durant telah memulakan kerjayanya bersama Phoenix dalam tiga perlawanan yang disertainya untuk kelab itu setakat ini, dengan purata 26.7 mata dan 7.3 rebound.
Bagaimanapun, musimnya sudah terganggu akibat kecederaan. Dia menghabiskan kira-kira lapan minggu di luar perlawanan selepas kecederaan lututnya pada awal Januari ketika bermain untuk Brooklyn. – AFP
